Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Kedah bercadang untuk mengenakan bayaran permit bagi setiap kenderaan dari Thailand yang memasuki negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata bayaran permit itu secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan negeri, selain membolehkan pemandu asing yang melanggar peraturan jalan raya di negara ini dikompaun.

"Sekarang ini, kenderaan dari Thailand yang memasuki negara ini boleh mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang jika melanggar peraturan, malah kes akan ditutup sekiranya kenderaan mereka dibawa balik ke negara mereka.

"Dengan sistem bayaran permit, semua maklumat mengenai kenderaan yang melanggar undang-undang jalan raya, akan dicatatkan secara ' online ' dan pemandu akan dikenakan kompaun sebelum keluar dari negara ini," katanya ketika ditemui pada program Jelajah Sahur anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di Balai Polis Bukit Selambau, dekat Sungai Petani, awal pagi tadi.

Tajul berkata, cadangan itu bagaimanapun masih dalam peringkat perbincangan dan akan diperhalusi dengan semua agensi berkenaan termasuk polis dan JPJ.

- Bernama

Lihat Komen
ADS