Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan terus nyata sokongan pada Khalid
Diterbitkan:  Jul 20, 2014 1:00 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Utusan Malaysia menzahirkan sokongan kepada menteri besar Selangor yang semakin ditekan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengekalkan jawatan menteri besarnya.

Dalam ruangan pojok Awang Selamat yang menjadi lidah pengarang akhbar itu, Khalid dinyatakan sebagai pemimpin yang berani bersuara mengkritik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Awang turut merujuk kepada laporan perjumpaan Anwar dengan ketua cabang dan wakil rakyat PKR Selangor semalam bertujuan mengganti Khalid dengan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang disifatkan Awang sebagai 'presiden boneka'.

"Atas kertas beliau mendapat sokongan rakyat Selangor. Malah Khalid lebih popular berbanding Anwar, Wan Azizah dan Azmin di negeri itu.

“Dari segi integriti, reputasi dan akhlak pemimpin, menteri besar Selangor itu lebih diyakini," tulis Awang dalam Mingguan Malaysia hari ini.

Awang turut menyatakan cengkaman Anwar dalam pakatan pembangkang dan partinya sendiri sudah lemah dan menyeru agar Khalid terus berdegil dan kekal sehingga tamat tempoh pentadbiran beliau sebelum pilihan raya umum depan.

"Makin ramai pemimpin pembangkang termasuk PKR tidak gentar kepada Anwar yang sudah lemah cengkaman.

“Ini kerana beliau sendiri adalah liabiliti kepada PKR dan pakatan pembangkang. Maka Awang yakin Khalid tidak makan dibuli oleh Anwar.

"PKR boleh kehilangan Anwar tetapi implikasi besar menanti jika ketiadaan Khalid di Selangor sebelum waktunya. Teruskan mentadbir Tan Sri, rakyat Selangor bersama anda," tulisnya.

Lihat Komen
ADS