Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA, ISMA tak hadir buka puasa MKPN
Diterbitkan:  Jul 20, 2014 9:28 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

NGO Melayu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan PERKASA hari ini tidak menghadiri jemputan majlis berbuka puasa Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) sebentar tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup bagaimanapun tidak menganggap hal itu sebagai satu berita buruk sebaliknya berkata akan mengambil peluang bertemu 'kawannya' iaitu presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali di masa lain.

“Mungkin dia ada komitmen, sekarang ni banyak program, jadi saya percaya dia ada program lain.

“Tapi saya akan cuba ambil masa (jumpa dia). Kita kawan, dia saya punya kawan," kata Joseph kepada wartawan ketika ditanya sebentar tadi.

PERKASA dan ISMA antara jemputan khas dalam majlis itu selain "kumpulan pemikir".

PERKASA dan ISMA sebelum ini banyak mengeluarkan kenyataan menentang kewujudan MKPN dan Rang Undang-undang (RUU) Akta Keharmonian Negara yang sedang dikarang mereka.

Ibrahim sebelum ini mendakwa orang Melayu yang menganggotai MKPN pekak dan diperalatkan.

Beliau turut mencadangkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ditukarkan namanya kepada “Muntahik” kerana mencadangkan PERKASA dan ISMA diharamkan.

Selasa lalu, Naib Presiden Isma, Abdul Rahman Mat Dali, pula mencadangkan kerajaan wajar membubarkan MKPN berikutan peranannya yang sudah jauh tersasar dengan hasrat untuk mencari titik perpaduan.

Beliau menyatakan sebaliknya MKPN bertindak mengambil langkah-langkah yang mengancam perpaduan yang mana mereka cuba menghakis kedudukan Melayu dan Islam.

Tak patah semangat

Joseph dalam ucapannya sebelum majlis berbuka puasa di sebuah hotel di Sungai Besi tadi mengalu-alukan semua pihak yang hadir dan menjelaskan beliau dan MKPN tidak berpatah semangat untuk menyatupadukan rakyat Malaysia.

Beliau selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap MKPN turut menolak draf RUU itu telah pun siap sebaliknya masih dalam proses pembaikan.

"MKPN masih dalam proses mendapatkan input daripada pihak berkepentingan termasuk NGO.

"Setiap cadangan input yang diterima akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi," kata beliau.

Lihat Komen
ADS