Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kekeliruan berhubung 'rampasan' mayat nahas
Diterbitkan:  Jul 21, 2014 7:50 AM
Dikemaskini: Jul 21, 2014 5:00 AM

Kekeliruan berlaku berhubung pemindahan sekurang-kurangnya 167 mayat dari kawasan nahas MH17 di Grabovo, di timur Ukraine.

Laporan sebelum ini oleh Associated Press (AP) yang memetik Kementerian Kecemasan Ukraine menyatakan bahawa puak pemisah pro-Rusia "memaksa" pekerja penyelamat menyerahkan mayat kepada mereka.

Bagaimanapun, agensi berita Jerman DPA memetik Timbalan Perdana Menteri Ukraine Vladimir Groisman sebagai berkata Ukraine dan puak pemisah telah bersetuju untuk menyimpan mayat di dalam gerabak kereta api berpeti sejuk.

Groisman dilaporkan berkata mayat tersebut akan dipindahkan ke makmal di Kharkiv, yang terletak di kawasan yang dikuasi kerajaannya.

Bagaimanapun, AP sebelum ini melaporkan bahawa semua 196 mayat yang ditemui, sedang dibawa ke Ilovaysk, kawasan yang dikuasai puak pemisah.

Sebaliknya, Alexander Borodai, dari puak pemisah, dalam laporan AP yang lain, menafikan mereka mengganggu mayat-mayat tersebut.

Beliau juga berkata mayat-mayat itu akan kekal di simpan dalam kereta api berpeti sejuk di stesen Torez sehingga 12 pakar Malaysia tiba.

Sementara itu, misi khas Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) ke Ukraine melaporkan bahawa mayat-mayat itu diletakkan di dalam kereta api di stesen Torez.

Pejuang bersenjata

Jurucakap Michael Bociurkiw dipetik oleh Pusat Krisis Media Ukraine sebagai berkata  hanya 167 mayat disimpan di dalam kereta api tetapi dia tidak dapat mengesahkan jika mereka adalah dari tapak kemalangan.

"Beliau berkata, berdasarkan perbualan dengan pengganas, kereta api itu akan menunggu sehingga ketibaan pakar antarabangsa dan akan diputuskan ke mana untuk membawa mereka.

"Beliau juga berkata, kereta api itu mungkin akhirnya dibawa ke wilayah yang dikuasai oleh kerajaan Ukraine," kata kenyataan Pusat Krisis Media Ukraine.

Bociurkiw juga dilaporkan mendakwa bahawa anggota misi itu telah diiringi masuk dan keluar oleh "pejuang bersenjata", yang mengawal kawasan itu.

Pusat Krisis Media Ukraine dikendalikan oleh kerajaan Ukraine.

Menjawab laporan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi amaran supaya mayat-mayat tersebut dipindahkan secara haram.

Beliau juga mahu mayat rakyat Malaysia yang dikenal pasti, dibawa pulang sebelum Hari Raya, yang dijangka disambut pada 28 Julai.

Malaysia telah menghantar satu pasukan pakar forensik untuk mengenal pasti mayat rakyat Malaysia, tetapi Menteri Kesihatan Datuk S Subramaniam berkata pasukan itu tidak diberi akses ke kawasan nahas.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS