Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ISMA: Tak cool 'awek cun' masuk DAP
Diterbitkan:  Jul 21, 2014 1:48 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Jelitawan Young Syefura Othman menyertai DAP kerana merasakan parti itu “cool”.

Bagaimanapun, bagi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), ia hanya menggambarkan “kejahilan”.

“Masa dahulu kita tidak boleh pandang lambang roket DAP kerana faham akan perjuangan Sosialis dan konsep Malaysian Malaysia parti itu, tapi kini sudah sampai ke tahap ada anak gadis Melayu, rasa 'cool’ dan sanggup berjuang dalam parti itu.

“Gadis-gadis itu kemungkinan besar akan diusung ke sana ke mari oleh pemimpin-pemimpin DAP untuk mempromosi bagi menggambarkan ia imej mesra Melayu dan Islam.

“Sebenarnya,itulah petanda-petanda kecairan dan reputnya jati diri dalam diri di kalangan sesetengah anak muda Melayu kini,” naib Presiden ISMA Abdul Rahman Mt Dali dipetik sebagai berkata.

Young Syefura, seorang gadis muda Melayu bertudung, baru-baru ini menyertai DAP sebagai anggota seumur hidup dan ditampilkan oleh laman web rasminya Roketkini sebagai “awek cun”.

Ungkapan itu bagi menggambarkan kecantikan Young Syefura, atau lebih dikenali sebagai Rara, kemudian ditarik balik selepas beberapa pihak tidak selesa dengannya.

Seolah tiada lagi gadis Cina

Penyertaan Rara, 25, dilihat sebahagian daripada agenda DAP mendekati golongan muda Melayu bagi mengikis tanggapan negatif “parti Cina” yang membelenggunya sekian lama.

Sementara itu, laporan laman web ISMA juga menyebut Abdul Rahman sebagai menyifatkan tindakan menonjolkan gadis Melayu dalam DAP sebagai taktik terkini, licik, nakal serta menjijikkan.

“Dalam pimpinan DAP mana ada orang Melayu, tetapi tiba-tiba mereka tonjolkan gadis-gadis Melayu yang dibahasakan ‘cun’ seolah-olah tidak ada lagi gadis-gadis Cina dalam parti itu yang paling perlu dihargai untuk ditonjolkan,” beliau dipetik sebagai berkata.

“DAP menggunakan gadis Melayu untuk menjadi topeng kepada wajah bahaya perjuangan parti itu terhadap kedudukan orang Melayu dan agama Islam.”

Katanya, fenomena penyertaan seorang lagi gadis Melayu selepas calon DAP dalam pilihan raya kecil Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud ( atas ) menunjukkan parti itu berjaya “memperdaya” anak Melayu.

Ia juga katanya, berlaku apabila kumpulan itu sejarah Melayu, kontrak sosial dan perjuangan DAP yang disertainya itu.

Lihat Komen
ADS