Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii menafikan kenyataan "balik tongsan" yang ditujukannya kepada isteri seorang anggota parlimen DAP bermaksud untuk menghina.

Beliau memberitahu Malaysiakini kenyataannya hanyalah balasan kerana Tan Poh See, isteri kepada anggota parlimen Tanjung Ng Wei Aik yang mengutuk Malaysia terlebih dahulu.

“Wujud ke istilah tongsan itu?

"Pertamanya, saya rasa perkataan tongsan itu perkataan biasa. (Macam) Orang Cina bergaduh (dia) suruh balik kampung.

"(Maksud suruh) balik tongsan itu maknanya keluar dari negara ini. Dia kena hormat negara dan perundangan negara yang dia duduk," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Anggota parlimen Serdang Ong Kian Ming hari ini menuntut tindakan disiplin dikenakan terhadap Razlan kerana menulis tweet "balik tongsan" terhadap Tan, isteri MP Tanjung.

Tan telah memuat naik status berbunyi ”Malaysia sebuah negara menakutkan, apa jenis negara tak guna ini?” ekoran tragedi MH17 yang mengorbankan 298 nyawa.

'Ong mahu kenakan saya'

Tan kemudian memadamkan tulisan itu dan meminta maaf selepas ia mencetus kontroversi meluas dan dikritik hebat di alam siber.

Razlan menegaskan kenyataan itu sepatutnya dilihat sebagai balasan ayat "negara tak guna Tan" dan bukannya penghinaan kepada kaum lain.

"Kalau rasa negara ni tak guna, kenapa masih nak duduk sini.

"Cina yang benar-benar dari Malaysia tidak akan terasa, kecualilah mereka masih 50-50 (kesetiaan pada Malaysia)," kata beliau.

Beliau turut menempelak Ong yang cuba mengheret perkara lain dan mahu tindakan disiplin dikenakan kepada beliau.

"Ong Kian Ming ( kiri ) sebenarnya tahu maksud saya, tapi biasalah. Tindakan apa? Mungkin dia sendiri nak wujudkan satu badan disiplin untuk hukum saya.

"Ong Kian Ming memang berniat untuk kenakan saya. Dia politik lain dan saya lain," kata beliau.

Lihat Komen
ADS