Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mengambil pendekatan sederhana mengenai usaha kerajaan dalam menangani isu MH17 di Ukraine.

Dalam keadaan yang jarang dilihat, Anwar tidak mengkritik cara kerajaan Datuk Seri Najib Razak dalam usaha untuk mendapatkan mangsa nahas dan kotak hitam di kawasan bergolak di Donetz, timur Ukraine.

"Mungkin kerajaan  bertindak bijak berdiam dulu dan mengambil peluang untuk masuk ke kawasan nahas (di Donetz) terlebih dahulu. Jadi saya ambil pendekatan sederhana dalam hal ini," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan PKR tengah malam tadi.

Bagaimanapun Anwar berpendapat kerajaan perlu bertegas dalam memastikan keselamatan ruang udara dan tempat nahas.

Beliau turut menggesa pendekatan tegas digunakan kepada pihak bertelagah di wilayah itu untuk memastikan keadilan dalam nahas yang mengorbankan 298 nyawa itu.

"Saya gesa kerajaan lebih tegas dalam mendapat keadilan. Kita tahu berkenaan pemberontak yang mendapat senjata canggih dari Rusia," kata beliau

Selain itu Anwar turut menyeru Najib dan kerajaannya tidak meremehkan isu Gaza.

Pakatan Rakyat sebelum ini mendesak kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan isu serangan ke atas Palestin sebagaimana telah dibuat pada Januari 2009.

Dalam sidang medianya tengah malam tadi, Najib mengumumkan dua kotak hitam daripada pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine akan diserahkan kepada Malaysia pada jam 9 malam waktu tempatan (3 pagi) melalui pasukan Malaysia di Donetsk.

Najib berkata, perkara itu antara yang dipersetujui dengan pasukan pemisah hasil perbincangannya dengan pemimpin mereka Alexander Borodai sebelum ini selain kebenaran mengambil kembali mayat mangsa nahas.

Lihat Komen
ADS