Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dengan keputusan pemilihan umum presiden Indonesia bakal diketahui petang ini, pemantau NGO Human Rights Watch Andreas Harsono menganggap Indonesia masih jauh dari menyelesaikan masalah hak asasi manusia.

Dalam syarahannya di Petaling Jaya semalam, beliau berkata calon kegemaran untuk presiden republik itu, Joko Widodo tidak mempunyai modal politik untuk menangkis masalah penindasan agama di republik itu.

Andreas turut bimbang dengan respon politik yang bakal menimpa kerana Joko yang lebih dikenali sebagai Jokowi, tidak didukungi pertubuhan agama besar Indonesia.

"Amat mudah dan menarik untuk menggunakan agama itu bagi mencapai cita-cita politik. Jadi saya bertanya Jokowi adakah anda mempunyai modal politik untuk menarik balik apa yang dilakukan presiden sebelum ini.

"Adakah dia (Jokowi) mampu melakukannya? Saya harap ya. Tetapi saya tak fikir beliau boleh melakukannya," kata Andreas dalam syarahannya mengenai penindasan kebebasan agama di Indonesia semalam.

Beliau menyatakan demikian kerana bekas presiden Indonesia Abdul Rahman Wahid atau Gus Dur yang dikatakan calon paling layak sebelum ini gagal menyelesaikan masalah itu ketika memerintah.

Menurutnya lagi, fitnah dan penentangan terhadap Jokowi termasuk tuduhan bahawa calon presiden itu seorang Kristian bakal mengundang pelbagai lagi masalah.

"Abdul Rahman Wahid itu presiden kepada Nadhatul Ulama yang mempunyai lebih 60 juta ahlinya. Datuknya merupakan pengasas gerakan itu. Bapanya pula merupakan bekas menteri hal ehwal agama Indonesia yang pertama.

"Tiada siapa yang (boleh) menuduh Abdul Rahman Wahid sebagai Kristian. Beliau masih sukar menyelesaikan hal ini. Ini pula Jokowi yang awal-awal dituduh Kristian," kata beliau.

Andreas yang juga antara pengasas Aliansi Jurnalis Independen (AJI) menyatakan secara peribadi bahawa beliau "lebih gemar" Prabowo Subianto (bawah) yang menjadi presiden Indonesia.

Gembira jika Prabowo menang

Ini kerana, katanya, seluruh dunia akan lebih terarah kepada Indonesia oleh kerana rekod Prabowo sendiri yang sering dikaitkan dalam hal penindasan hak asasi manusia.

"Saya gembira jika Prabowo menang. Saya bersedia untuk Prabowo. Saya mendapat banyak panggilan telefon dari Jerman, Belanda, Sweden dan Norway yang bertanya mengenai masalah hak asasi di Indonesia.

"Lebih senang untuk menghadapi isu hak asasi dengan Prabowo kerana beliau akan terkait dengan penindasan," kata beliau.

Andreas bagaimanapun berkata Prabowo turut mempunyai latar belakang yang unik dengan berasal dari agama Kristian dan mendapat sokongan kuat dari kelompok Islam dan Kristian di negara itu.

"Ada orang kata jika Prabowo menang maka pemimpin Jaringan Islam Liberal Ulil Abshar-Abdalla patut letak jawatan.

"Ini kerana selama 15 tahun ini Ulil gagal membuat umat Islam ke gereja bagi merayakan perayaan Kristian sedangkan Prabowo berjaya berbuat demikian (dalam salah satu kempennya)," kata beliau.

Semalam, portal The Jakarta Globe melaporkan Jokowi bakal menjadi presiden baru Indonesia selepas memenangi lebih 53 peratus undi dalam pilihan raya presiden berdasarkan keputusan kiraan mereka.

   

Portal tersebut melaporkan membuat kiraan undi individu berdasarkan keputusan rasmi 33 wilayah oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU), badan yang bertanggungjawab menguruskan pilihan raya.

Lihat Komen
ADS