Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sudah jatuh ditimpa tangga, luka lama belum sembuh, luka baru pula muncul, demikianlah perasaan tidak terungkap walaupun dengan kiasan bahasa.

Negara berkabung sebelumnya pada kehilangan MH370 yang hingga saat ini tidak muncul-muncul dan kini MH17 pula dikatakan menjadi sasaran peluru berpandu di kawasan yang menjadi rebutan.

Pada saat rakyat Malaysia, Belanda, Australia, Indonesia dan lain-lain yang menjadi mangsa korban berkabung, kuasa besar pula bersedia untuk bertembung.

 

Tiada siapa yang menafikan kuasa besar sebenarnya tidak peduli apa yang berlaku kepada mangsa, apa yang mereka penting ialah perimbangan kuasa mereka di Eropah Timur dan meneruskan dasar ‘proxy war’ untuk terus berkuasa.

Lanjutan perang dingin

Amerika selepas Perang Dunia ke-II berhadapan dengan peperangan ideologi antara  ‘komunis’ Russia dan ‘liberal’ Amerika.

Dunia dibahagikan melalui tirai besi antara pengaruh komunis Russia dan liberal kapitalis Amerika. Suasana ini melahirkan apa yang dinamakan sebagai ‘perang dingin’ bermula tahun 1946.

Dasar Amerika adalah untuk membentuk keadaan bertahan atau berkawal (containment) dan bersedia bila-bila masa untuk berperang (roll-back).

 

Amerika dan sekutunya mewujudkan NATO (North Atlantic Treaty Organization) untuk mengimbangi penguasaan komunis di Eropah Timur. Russia mewujudkan Pakatan Warsaw bagi mengumpulkan negara-negara Eropah Timur yang tunduk kepada ketuanannya.

Peperangan proksi

Dalam mengekalkan dasar ‘containment’ dan perluasan komunis berlaku beberapa ‘proxy war’ yang pada matlamatnya ialah untuk memenuhi kehendak pihak yang lebih besar iaitu Amerika dan Russia.

Namun permainan ‘cold war’ ini berubah langkah apabila Soviet Union runtuh dan Russia menjadi persekutuan (federation) dan negara-negara bawah kuasa Soviet menuntut autonomi.

Begitu juga salah satu negara yang besar terbentuk di bawah keruntuhan ini iaitu Ukraine. Ukraine yang memiliki tapak senjata nuklear ketiga terbesar semasa era Soviet Union bersetuju untuk menyerahkan dalam program perjanjian penyahan senjata nuklear dengan syarat ia diberi kemerdekaan sebagai sebuah negara yang bebas.

 

Ukraine memilih untuk berkiblatkan ke arah Amerika yang sangat memerlukan negara yang menjadi proksinya untuk mengawasi kebangkitan semula komunisme.

Kebangkitan semula Russia

Vladimir Putin bagi warga keturunan Russia adalah simbol kebangkitan dan presiden Russia itu tidak ada pilihan untuk membangkitkan semangat Russia melainkan ia perlu menunjukkan taringnya dan kali ini Ukraine menjadi mangsanya.

Penjajahan Semenanjung Crimea yang terletak di Timur Ukraine adalah isyarat kebangkitan Russia yang sudah mula menunjukkan dasar penjajahan baru.

Amerika tidak selesa kerana khuatir kemenangannya menguasai Eropah Timur akan terjejas dengan kebangkitan penjajahan baru Russia. Russia membekalkan senjata kepada pemberontak Ukraine berbangsa Russia untuk melemahkan kedudukan Ukraine.

Ia seolah pengistiharaan perang ke atas Amerika dan kuasa NATO. Apakah peperangan baru era Putin akan meledak?

Mengapa MH17?

Sukar untuk menjawab persoalan ini sepertimana sukar untuk menjawab ke mana hilangnya MH370. Tetapi yang pasti Malaysia dijadikan umpan untuk perang kuasa besar supaya Amerika ada mempunyai alasan yang ‘kuat’ untuk campur tangan ke atas Ukraine.

Rakyat Malaysia sebenarnya tidak peduli siapa yang menembak MH17 dan tidak berminat dalam ‘blame game’ ini, kita lebih utama memikirkan siapa sahaja yang melakukan kejahatan ini jika benar ia ditembak adalah binatang dalam topeng manusia, mereka tidak berhati-perut untuk menjadikan kapal terbang awam sebagai bidikan.

Dunia mengutuk dalam kegilaan kuasa besar mencatur bidak-bidak mereka termasuk Belanda yang mencatat mangsa paling ramai yang terkorban.

Kutuk kuasa besar

Ia adalah mainan kuasa besar yang bernafsu untuk membuka medan perang baru setelah mereka merosakkan Palestin dan menghancurkan Gazza saat artikel ini ditulis.

Malaysia perlu berdiri dengan penuh maruah untuk tidak mengambil pihak dalam perang gila ini dan mengutuk Amerika dan Russia kerana mengheret Malaysia dalam peperangan mereka.

 

Buat masa ini keutamaan adalah memastikan mayat mangsa dikembalikan kepada keluarga masing-masing sementara dunia menantikan jawapan dalam kotak hitam untuk menentukan samada MH17 telah ditembak atau tidak.

Bagi rakyat Malaysia esok adalah sidang khas Parlimen untuk seluruh negara mendapat penjelasan awal dan supaya ahli Parlimen mendapat peluang untuk berbahas.

Saya yakin kesemua 222 Ahli Parlimen Malaysia akan bersetuju sebulat suara dengan usul Perdana Menteri kerana ia adalah soal maruah dan harga diri sebuah negara, sepatutnya tidak ada siapa yang perlu mempertikaikannya.

Malaysia berkabung kuasa besar pula bertembung...


DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA ahli parlimen Parit Buntar dan ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Lihat Komen
ADS