Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jerebu: 15 sekolah di Manjung diarah tutup
Diterbitkan:  Jul 22, 2014 2:17 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Sebanyak 15 sekolah menengah dan rendah di daerah Manjung diarahkan ditutup mulai sesi petang hari ini berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan 247 iaitu tahap sangat tidak sihat di Seri Manjung, pada pukul 1 petang ini.

    

Pengarah Pendidikan Negeri Perak Mohd Idris Ramli berkata penutupan itu melibatkan enam sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah dengan jumlah pelajar sebanyak 5,945 orang.

    

"Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manjung, SK Kampung Dato Seri Kamarudin, SK Methodist (ACS), SK Methodist, SK Convent dan SK Simpang Empat.

    

"Sementara sekolah menengah melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Manjung, SMK Ahmad Boestamam, SMK Seri Samudera, SMK Nan Hwa, SMK Methodist, SMK  Methodist (ACS), SMK Tok Perdana, SMK Ambrose dan SMK Dato Idris," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    

Mohd Idris berkata beliau telah memaklumkan kepada pegawai pendidikan daerah untuk menutup sesi petang persekolahan sehingga dimaklumkan kemudian.

"Sesi persekolahan pada pagi esok juga akan ditutup sekiranya bacaan IPU melebihi 200," jelasnya.

    

Mengikut laman web Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, kawasan lain yang merekodkan kualiti udara sederhana setakat 1 petang ini ialah Jalan Tasek, Ipoh (92) manakala kualiti udara tidak sihat direkodkan di Kampung Air Putih, Taiping (117), Jalan Pegoh, Ipoh (114) dan Tanjung Malim (115).

    

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

    

-Bernama

 

Lihat Komen
ADS