Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Duta Rusia nafi tuduhan AS, ungkit ceroboh Iraq
Diterbitkan:  Jul 22, 2014 2:17 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

MH17 Duta Rusia ke Malaysia, Lyudmila G Vorobyeva menyangkal dakwaan Amerika Syarikat yang ia mempunyai bukti mengenai kaitan Moscow dalam kejadian menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17.

Beliau menegaskan bahawa Washington membuat dakwaan yang sama sebelum ini yang tidak pernah menjadi kenyataan.

"Biar mereka tunjuk bukti. Di Iraq, kerajaan AS berjanji untuk memberi bukti mengenai senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang dimiliki oleh (presiden Iraq ketika itu), Saddam Hussein.

"Kami masih menunggunya," katanya dalam sidang akhbar di kedutaan Rusia di Kuala Lumpur pagi ini.

Pada tahun 2003, AS menyerang Iraq atas alasan negara ini mempunyai senjata pemusnah besar-besaran tetapi gagal mengemukakan sebarang bukti selepas pencerobohan itu.

Vorobyeva berkata Moscow tidak mahu menyalahkan sesiapa

berkaitan nahas MH17 sehingga siasatan selesai.

Bagaimanapun, secara peribadi, beliau percaya pejuang pemisah pro-Rusia di Ukraine tidak bertanggungjawab ke atas serangan itu.

"Saya yakin mereka (pemisah) tidak mempunyai sebarang cara untuk melakukannya," katanya, sambil menambah Rusia juga tidak memberikan peluru berpandu darat ke udara kepada puak pemisah.

"Saya bukan seorang pakar ketenteraan tetapi Buk (sistem peluru berpandu) merupakan sistem yang sangat canggih dan anda perlu latihan khas untuk mengendalikannya.

"Para pemberontak tidak mempunyai Buk atau kelayakan untuk mengendalikannya," kata beliau.

Rakaman adalah 'palsu'

Beliau juga berkata rakaman audio dan video yang telah digunakan untuk menuduh puak pemisah bertanggungjawab menembak jatuh MH17 adalah "palsu".

Dia memetik taklimat Kementerian Pertahanan Rusia awal hari ini bahawa Ukraine yang memiliki peluru berpandu Buk, berada sekitar lokasi nahas MH17.

Tambahan pula, beliau mendakwa jet pejuang Ukraine telah dikesan pada radar Rusia berada dalam lingkungan 3km-5km Penerbangan MH17 semasa kejadian itu.

Bagaimanapun, Vorobyeva berkata, beliau tidak mengatakan Kiev

bertanggungjawab tetapi hanya menyatakan "fakta".

Sebelum sidang akhbar itu, wartawan ditunjukkan rakaman taklimat itu.

Vorobyeva juga mengulangi pendirian Kementerian Pertahanan Rusia bahawa Penerbangan MH17 telah menyimpang dari laluan penerbangan asal walaupun MAS bertegas bahawa pesawatnya berada pada di laluan yang betul.

Beliau berkata sebab pesawat menyimpang tidak diketahui tetapi Moscow bersedia untuk berkongsi maklumat itu dengan Malaysia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS