Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
29 Sept pengurusan kes 15 didakwa ceroboh DUN
Diterbitkan:  Jul 22, 2014 3:14 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Mahkamah Majistret George Town hari ini menetapkan 29 September bagi pengurusan kes 15 individu yang menghadapi pertuduhan

menceroboh masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 21 Mei lepas.

    

Majistret Nurul Rashidah Md Akit menetapkan tarikh itu bagi memboleh pihak pendakwaan menyediakan dokumen yang diperlukan oleh pihak pembelaan.

    

Mereka yang didakwa ialah Datuk Mohd Ridzwan Bakar, 54, Hisham Ahmad Sabri, 43, Afriz Mohd Noor, 36, Rosesarwandi Saad@Yaacob, 33, Mohd Rizuad Mohd Azudin, 37, Hisham Abdul Hamid, 38, Mohd Nashrol Hisham Abdullah, 38, Azmeal Abu Bakar, 42, Mohamad Yusmadi Mohad Yusof, 34, Mohd Hilmie Ibrahim, 37, Jasmin Noordin, 40, Nordin Wahab, 41, Mohamed Ghani Abd Jiman, 48, Wan Abidin Zain, 51, dan Mohamed Ibrahim A.Siahoo, 31.

    

Mereka didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas telah menceroboh masuk ke dalam DUN Pulau Pinang dengan niat hendak menggusarkan orang yang memiliki harta itu iaitu Setiausaha DUN Pulau Pinang Maheswari a/p Malayandy pada 1.30 tengah hari, 21 Mei lepas.

    

Mereka didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

    

Sementara itu, Majistret Nurul Rashidah memberi amaran kepada Adzhar Ahmad iaitu penjamin Mohd Rizuad berikutan kegagalan Mohd Rizuad hadir di mahkamah hari ini kerana dikatakan sedang menerima rawatan perubatan di Jakarta dan berlepas ke sana semalam.

    

"Mahkamah memberi amaran kepada penjamin untuk memastikan kehadiran orang kena saman (OKS) pada tarikh pengurusan kes yang ditetapkan, sekiranya OKS gagal hadir pihak  mahkamah akan menarik balik jaminan dan OKS akan dihantar ke lokap," katanya yang turut mengarahkan OKS mengemukakan dokumen mengenai rawatan dijalaninya.

    

Turut tidak hadir di mahkamah hari ini ialah Jasmin yang baru menjalani pembedahan tulang belakang dan penjaminnya Faisal Ahmad bagaimanapun mengemukakan dokumen rawatan dan sijil cuti sakit yang sah daripada  doktor dan mahkamah menerimanya.

    

Kesemua 15 OKS terbabit diwakili peguam bela Jahaberdeen Mohamed Yunoos, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib dan Ramkarpal Singh  pula bertindak sebagai peguam pemerhati kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS