Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Malaysia boleh mengisytiharkan solat ghaib dilakukan bagi jenazah Muslim yang terkorban dalam nahas MH17 selepas mayat mereka selesai dimandi dan dikafankan oleh petugas Malaysia di Amsterdam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam kenyataan medianya, Jamil yang juga MP Jerai berkata solat ghaib berlaku jika jenazah berada di negara atau negeri lain sama ada ia terletak jauh ataupun dekat.

"Walaupun setelah jenazah sampai di KLIA (Malaysia), tiada tegahan untuk umat Islam mengadakan solat jenazah (secara hadir) sekali lagi.

"Bagi umat Islam yang berada di negeri/ di tempat berjauhan, tetapi tidak berkesempatan untuk bersama-sama melakukan solat tersebut secara hadir, maka mereka boleh melakukan solat jenazah ghaib di tempat masing-masing," katanya.

Seramai 43 penumpang Malaysia termasuk 15 anak kapal dan 2 bayi berada dalam pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine itu.

Berdasarkan senarai, penumpang Muslim yang dilapor menaiki pesawat MH17 itu adalah seramai 21 orang.

Mengulas pengurusan jenazah MH17 sebaik sahaja tiba di Malaysia, Jamil berkata jenazah beragama Islam akan dibawa ke Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, Sepang untuk disolat dan diserahkan kepada keluarga mangsa.

"Semua kenderaan jenazah telah disediakan secukupnya dan diselaraskan secara bersama oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Jabatan Agama Islam Wilayah persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor.

"Pihak Perbadanan Putrajaya juga bersedia untuk menyediakan tempat pengebumian di Presint 20 Putrajaya sekiranya terdapat permintaan," kata Jamil.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mayat penumpang MH17 tiba di Malaysia sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 28 April ini.

Dalam kenyataannya juga, Jamil turut menjelaskan pengurusan jenazah hancur atau terpisah anggota badan di mana ia perlu diambil dan dikumpul dengan cara penuh hormat dan tidak semestinya diasingkan-asingkan jika tidak dapat dibezakan antara satu sama lain.

Katanya, cara memandikan jenazah tersebut memadailah dengan meratakan air kepada daging atau bahagian yang hancur dengan niat mandi untuk jenazah Islam.

"Sekiranya ditemui sebahagian anggota badan mana wajib dimandikan dan disolatkan dengan niat menghimpunkan seluruh tubuhnya.

"Wajib juga dibungkus dan ditanam bahagian yang terpisah itu seperti biasa sekalipun sebahagian mayat tersebut hanyalah kuku dan rambut," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya selepas itu ditemui sebahagian lagi daripada tubuh mayat, maka tidak wajib diulangi solat sekiranya diketahui bahagian itu telah dimandikan sebelum itu.

"Sekiranya tidak diketahui, maka wajiblah diulangi solat sekali lagi," katanya.

Lihat Komen
ADS