Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MAS peroleh suntikan semangat dari MP
Diterbitkan:  Jul 23, 2014 6:34 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Di sebalik dua tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) dalam tempoh empat bulan, rata-rata anggota Dewan Rakyat hari ini menunjukkan persepaduan untuk terus berdiri teguh di belakang syarikat itu.

    

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata MAS tidak seharusnya dibiar menanggung beban membayar pampasan kepada anggota keluarga mangsa seorang diri.

    

"Ini bukan berlaku dalam angkasa Malaysia. Ini berlaku di Ukraine. Kita minta Perdana Menteri apabila bercakap dengan Peguam Negara, jangan pandang kecil soal ganti rugi. Kalau MAS disaman, kita perlu saman balik pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Azalina menegaskan demikian ketika membahaskan usul mengenai tragedi yang menimpa pesawat MAS, Penerbangan MH17 pada mesyuarat khas Parlimen hari ini.

    

Azalina menegaskan mustahil tidak ada pihak yang bertanggungjawab sekiranya benar ia ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu.

    

"Ruang angkasa itu ada banyak kapal terbang lain tetapi MAS yang jadi mangsa. Saya katakan ini adalah barbaric mass murder (pembunuhan kejam beramai-ramai). Sama ada Rusia bertanggungjawab, puak pemisah mahupun Ukraine, isunya adalah siapa yang akan beri ganti rugi kepada keluarga," katanya.

Selain itu, Azalina menggesa kerajaan menguatkuasakan peraturan yang meminta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan serta agensi kerajaan mendahulukan MAS dalam setiap penerbangan yang diambil.

    

"Letakkan keutamaan kepada MAS, kru, kakitangan. Beri bonus dan elaun serentak. Sebab mereka seolah-olah mati syahid. Mati semasa dalam bekerja," katanya.

    

Sementara itu, Teresa Kok (DAP-Seputeh) meminta kerajaan dan MAS memberi perhatian kepada kakitangan syarikat itu yang mengalami tekanan emosi dan trauma susulan dua kejadian melibatkan pesawat MAS.

    

"Anak-anak kapal yang tidak stabil emosinya dan takut menaiki kapal terbang harus digalakkan berehat dan diberi kaunseling sehingga mereka pulih semula," katanya.

    

Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berkata DAP juga akan terus memberi sokongan terhadap MAS dan yakin untuk terus menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan itu.

    

"Sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada MAS dan warga kerja bukanlah sekadar ucapan sahaja, maka kami ingin menunjukkan keyakinan dengan terus menggunakan MAS, kalau masa penerbangan mengizinkan," kata Lim.

    

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 43 warga Malaysia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak dan terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

    

Sebelum itu pada 8 Mac, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada skrin radar ketika terbang merentasi Laut China Selatan semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.  

    

Penerbangan pesawat itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi, di barat Perth, Australia dan operasi mencari diteruskan. Sehingga kini kehilangan pesawat itu masih menjadi misteri.

    

Datuk Joseph Pairin Kitingan (BN-Keningau) pula menggesa sesetengah anggota masyarakat berhenti menuding jari menyalahkan pihak MAS dalam tragedi MH17.

    

Katanya, tragedi MH17 merupakan sesuatu yang tidak diminta oleh sesiapapun termasuk kakitangan MAS sendiri.

    

"Yang bersalah ialah yang menembak pesawat itu, MAS tidak melakukan apa-apa kesalahan, tidak adil untuk salahkan MAS.

    

"Sebaliknya bertafakur dan bersedih dengan nasib kakitangan MAS, sama kerana mereka kehilangan rakan-rakan dalam dua insiden termasuk MH370 beberapa bulan lalu, kita juga berdoa agar mereka dapat terus menjalankan tugas sebaiknya demi penumpang yang masih memerlukan khidmat mereka (MAS)," katanya.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS