Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perakam suara MH17 masih baik, kata ICAO
Diterbitkan:  Jul 24, 2014 9:38 AM
Dikemaskini: 4:44 AM

Perakam suara kokpit pesawat Malaysia yang ditembak jatuh di Ukraine adalah dalam keadaan yang baik, kata badan penerbangan awam PBB semalam.

Pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu di timur Ukraine minggu lepas, membunuh hampir 300 orang.

Pegawai dari Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang berpejabat di Montreal, membantu pihak berkuasa Ukraine dan Belanda menyiasat nahas itu. Majoriti mangsa adalah rakyat Belanda yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

"Perakam suara kokpit dalam keadaan baik... perakam digital data penerbangan itu masih dalam kajian," kata ICAO dalam satu kenyataan.

Lembaga Keselamatan Belanda, yang mengetuai siasatan

antarabangsa terhadap nahas itu, sebelum ini berkata tidak ada bukti perakam suara itu telah diusik.

Semalam, Britain berkata ia telah menerima kedua-dua perakam tersebut, sehari selepas pemimpin pemberontak kanan di Ukraine menyerahkannya kepada pakar Malaysia.

ICAO, yang merupakan kumpulan 191 negara, tidak mempunyai peranan operasi dan tidak mengeluarkan nasihat mengenai bahaya konflik bersenjata.

Malah, tidak ada badan global mempunyai tanggungjawab keseluruhan untuk menjamin ruang udara selamat untuk penerbangan awam.

ICAO berkata ia berunding dengan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa dan organisasi penerbangan serantau

"mengenai peranan negara masing-masing, syarikat penerbangan dan organisasi antarabangsa, dalam menilai risiko ruang udara yang terjejas oleh konflik bersenjata".

Kenyataan itu tidak memberikan butiran lanjut.

Reuters melaporkan pada hari Selasa bahawa wakil-wakil agensi telah menimbangkan sama ada ICAO perlu memperluaskan peranan dan mengeluarkan nasihat keselamatan tentang risiko terhadap penerbangan di zon konflik.

"Penggunaan senjata terhadap penerbangan awam antarabangsa tidak boleh diterima sama sekali," kata Presiden Majlis ICAO, Olumuyiwa Benard Aliu dalam satu kenyataan semalam.

- Reuters

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS