Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes perebutan anak: 2 hakim tarik diri
Diterbitkan:  Jul 24, 2014 11:37 AM
Dikemaskini: 9:21 AM

Permohonan peguam negara untuk menjadi pencelah dalam kes perebutan hak jagaan anak S Deepa dan M Indira Gandhi ditangguhkan selepas dua hakim Mahkamah Rayuan hari ini menarik diri.

Deepa dan Indira Gandhi, masing-masing mendapat perintah daripada Mahkamah Tinggi Seremban dan Mahkamah Tinggi Ipoh yang mengarahkan polis membantu mengesan bekas suami mereka Izwan Abdullah dan Muhammad Ridhuan Abdullah dan mendapatkan semula anak mereka yang didakwa diambil daripada mereka oleh bekas suami masing-masing.

Ini ekoran bantahan peguam K Shanmuga yang mewakili Deepa dan Indira Gandhi terhadap kehadiran Hakim Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh dan Hakim Datuk Umi Umi Kalthum Abdul Majid dalam panel hakim.

Sebelum menjadi hakim, Shanmuga berkata, Hakim Zawawi mengetuai Bahagian Penasihat Syariah di Jabatan Peguam Negara (AGC) semasa kes R Subashini, di mana AGC membincangkan pindaan beberapa undang-undang sedia ada yang berkaitan dengan penukaran agama seorang pasangan dan anak-anaknya kepada Islam, manakala pasangan yang lain kekal dengan agama asalnya.

Hakim Umi Kalthum kemudian bertanya sama ada kehadiran beliau dalam panel hakim juga akan dibantah, kerana beliau merupakan ketua bahagian sivil AGC pada masa itu.

Sehubungan itu. Shanmuga berkata, oleh kerana Hakim Umi Kalthum telah membangkitkan perkara itu, maka mereka juga akan merasa tidak selesa beliau mendengar kes tersebut.

"Saya memohon maaf kerana menimbulkan perkara itu sekarang, kerana saya hanya mengetahui (komposisi panel hakim) hari ini," kata peguam itu.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang

mewakil AGC, membantah, dengan alasan ia hanya permohonan untuk mencelah dan bukannya pendengaran rayuan itu.

Selepas berbincang dengan Hakim Datuk Zawai dan Hakim Umi Kalthum, maka Hakim Datuk Linton Albert, yang mengetuai panel hakim, berkata kedua-dua hakim berkenaan memutuskan untuk menarik diri demi menjamin keadilan.

"Adakah anda selesa dengan saya dalam panel hakim," tanya Linton dan Shanmuga menjawab iya.

Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan 10 September ini untuk mendengar permohonan Peguam Negara untuk menjadi pencelah dalam kedua-dua kes itu. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan pada 7 April tahun ini, Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan permohonan Deepa bagi hak penjagaan anak lelakinya Mithran, 6, dan anak perempuan Sharmila, 9, dan Izwan diberikan hak lawatan mingguan.

    

Mahkamah juga membenarkan permohonannya untuk membubarkan perkahwinan sivilnya berikutan Izwan atau nama Hindunya N. Viran,  telah memeluk Islam.

    

Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003. Izwan, yang memeluk Islam pada 2011 turut menukar agama dua anaknya itu tanpa pengetahuan isterinya pada tahun yang sama. Izwan kemudiannya memperoleh perintah hak penjagaan kanak-kanak itu daripada Mahkamah Syariah Seremban.

    

Pada 21 Mei tahun ini, Deepa memperoleh perintah daripada Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis mencari Izwan yang didakwa mengambil Mithran dua hari selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah itu.

    

Pada 27 Mei tahun ini, Izwan gagal dalam permohonannya bagi mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan kepada Deepa sementara menunggu rayuannya didengar.

Dalam kes Indira Ghandi, bekas suaminya Ridhuan juga masih belum menyerahkan anak perempuan bongsu kepadanya walaupun pada 2010 Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan tiga anak mereka kepadanya.

    

Ridhuan, yang sebelumnya bernama K. Patmanathan, menjaga Prasana Diksa sejak April 2009 ketika anak perempuan mereka itu berusia 11 bulan.

    

Mahkamah Tinggi Syariah di Ipoh pada 2009 memberikan hak penjagaan tiga anak mereka iaitu Tevin  Darsiny,  17, Karan Dinish,  16, dan Prasana Diksa, 6, kepada Ridhuan selepas beliau menukar agama mereka kepada Islam.

    

Indira Gandhi membawa kes ke Mahkamah Tinggi Sivil yang pada 11 Mac, 2010, memberikan hak penjagaan tiga anak mereka kepadanya dan Ridhuan diperintah mengembalikan Prasana Diksa kepada ibunya.

    

Pada Julai 2013, Mahkamah Tinggi Ipoh, dalam membuat keputusan penting, membatalkan sijil penukaran agama tiga anak itu dan memutuskan sijil itu tidak sah dan batal kerana melanggar perlembagaan.

    

Pada 30 Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan Ridhuan menghina mahkamah dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas beliau berulang kali gagal menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.

    

Indira Gandhi juga memperoleh perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis mencari Ridhuan.

    

Bagaimanapun, polis didakwa tidak menangkap Ridhuan atau membantu mencari kanak-kanak perempuan itu, mendorong Indira Gandhi mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mandamus bagi memaksa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Khalid Abu Bakar mengambil tindakan terhadap perintah dikeluarkan terhadap polis.

    

Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan esok untuk memutuskan sama ada memberikan kebenaran kepada Indira Gandhi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.

    

Peguam Negara  Tan Sri Abdul Gani Patail dan Khalid memohon untuk menjadi pencelah dalam usaha untuk menggantung perintah yang mengarahkan polis mendapatkan semula anak.

    

Izwan dan Ridhuan masing-masing memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung perintah supaya menyerahkan semula anak. Ridhuan juga merayu terhadap perintah menghina mahkamah dikeluarkan terhadapnya.

    

Peguam Honey Tan bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Majlis Peguam manakala peguam Philip Koh bagi Majlis Perundingan Malaysia bagi Agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan Tao dan peguam Goh Siu Goh bagi beberapa pertubuhan wanita.

Lihat Komen
ADS