Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perayaan: S'gor sedia hadapi kekurangan air
Diterbitkan:  Jul 24, 2014 5:31 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Kerajaan Selangor akan memastikan kuantiti sumber air mencukupi untuk Loji Pembersihan Air (LPA) beroperasi pada tahap maksima terutama menjelang musim perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Dr Ahmad Yunus Hairi berkata kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengambil beberapa langkah memastikan air dapat dibekalkan air kepada rakyat terutamanya pada musim perayaan ini walaupun ada penurunan paras air di kesemua empangan akibat cuaca kering.

    

"LUAS sedang memaksimakan penggunaan air kolam alternatif di Bestari Jaya melalui operasi pengepaman yang berjalan selama 24 jam.

    

Operasi ini dilakukan oleh petugas yang terdiri daripada LUAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor serta Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

    

"Ini adalah untuk memastikan kuantiti air Sungai Selangor memenuhi keperluan muka sauk dan juga LPA terutamanya di musim perayaan yang bakal tiba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    

Katanya sebanyak 20 pam telah dipasang untuk mengepam air dari kolam ke dalam sungai, manakala tujuh buah pam lagi untuk mengepam air sungai ke dalam kolam ketika aliran tinggi.

    

Beliau berkata bagi memastikan operasi berjalan dengan lancar tanpa gangguan, sebuah bilik gerakan operasi pengepaman air kolam altenatif telah diwujudkan di bangunan berdekatan dengan kawasan kolam-kolam terbabit sebagai pusat pemantauan operasi oleh pasukan petugas.

    

"Dalam masa yang sama perkhidmatan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan juga bantuan pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) digunakan untuk memastikan keselamatan pasukan petugas dan juga operasi," katanya.

    

Dr Ahmad Yunos berkata, biarpun dijangka ada pengurangan penggunaan air ketika awal musim perayaan disebabkan warga kota yang akan pulang ke kampung, namun operasi pengepaman air kolam akan terus dijalankan untuk memastikan tangki-tangki imbangan dapat dipenuhkan untuk menampung peningkatan penggunaan selepas cuti perayaan.

    

Mengulas mengenai paras air empangan di negeri Selangor yang terus mengalami pengurangan, Dr Ahmad Yunus menyatakan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihaknya telah memohon perkhidmatan pesawat daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalankan operasi pembenihan awan pada skala yang lebih besar.    

    

"Kita sedang menunggu maklum balas daripada pihak MKN mengenai perkara tersebut. Dengan cuaca semasa yang panas dan kering, operasi pembenihan awan ini akan dilakukan mengikut kesesuaian di atas nasihat pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MET),"katanya.

    

Dalam pada itu beliau juga menyeru kepada pengguna agar sentiasa bijak dan berjimat dalam penggunaan air di musim perayaan ini, lebih-lebih lagi dengan cuaca panas dan kering yang sedang dialami.

- Bernama

Lihat Komen
ADS