Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kassim dibenar rayu keputusan Mahkamah Tinggi

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan bekas aktivis politik dan sosial Dr Kassim Ahmad mendapatkan semakan semula kehakiman bagi mengetepikan keputusan pendakwa untuk mendakwanya di Mahkamah Tinggi Syariah.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam keputusan sebulat suaranya membenarkan Kassim merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya mendapatkan semakan semula kehakiman.

Balia juga membenarkan permohonan Kassim untuk memulakan prosiding semakan semula kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan menangkap dan mendakwanya di Mahkamah Syariah.

Panel itu, yang turut dianggotai Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Hakim Datuk Rohana Yusuf, juga memerintahkan pendengaran semakan semula kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dipercepatkan.

Ketika mengubah keputusan Mahkamah Tinggi itu, Balia berkata panel berkenaan berpuas hati bahawa perayu (Kassim) telah melepasi peringkat rendah dalam membuktikan wujudnya kes prima facie agar permohonan semakan semula kehakimannya didengar.

Katanya permohonan semakan semula kehakiman itu berkaitan tindakan mencabar tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), sebagai sebuah badan awam, untuk memulakan prosiding terhadap Kassim mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata mahkamah itu juga mendapati dalam membuat keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi mengehadkan pertimbangan beliau terhadap isu bidang kuasa semata-mata.

"Ada pelbagai isu lain, bukan melibatkan bidang kuasa sahaja, tetapi juga penguatkuasaan dan pentadbiran sebuah badan awam. Kami berpendapat perayu tidak boleh dihalang sepenuhnya daripada mendapatkan penyelesaian melalui semakan semula kehakiman," katanya.

Selepas keputusan itu diumumkan, peguam Rosli Dahlan yang mewakili Kassim, memohon penangguhan kes anak guamnya itu di Mahkamah Syariah, yang ditetapkan untuk dibicarakan dari 20 hingga 22 Okt, sementara menunggu keputusan semakan semula kehakiman.

Balia bagaimanapun menasihati Rosli mengemukakan permohonan penangguhan itu kepada Hakim Mahkamah Syariah.

Pada 14 Julai, Mahkamah Tinggi, ketika menolak permohonan Kassim untuk mendapatkan kebenaran memohon semakan semula kehakiman, memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan itu dan perkara tersebut juga terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan Kassim untuk mendapatkan kebenaran berbuat demikian.

Kassim, 81, memfailkan permohonan pada 26 Jun, antara lain, bagi menuntut satu writ perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Ketua Pendakwa Syarie pada 27 Mac mendakwanya kerana menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa.

Kassim juga memohon agar prosiding kesnya di Mahkamah Tinggi Syariah digantung sementara menunggu keputusan semakan semula kehakiman.

Di samping itu, beliau memohon perintah untuk mengetepikan tindakan dan keputusan pegawai penguatkuasa Jawi yang dituduh menyerbu, menggeledah dan merampas bahan penulisannya dan memeriksa, menahan serta memindahkan beliau dari Kedah ke Wilayah Persekutuan.

Beliau juga memohon perintah untuk mengetepikan semua waran tangkap, menggeledah dan merampas serta bon bersertanya, perisytiharan bahawa tindakan para pegawai Jawi dan pendakwa terhadapnya adalah ultra vires serta melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Akta Syariah Wilayah Persekutuan dan Enakmen Syariah Kedah; dan satu perisytiharan bahawa kesalahan melanggar 'fatwa' yang dikeluarkan di Wilayah Persekutuan hanya terpakai bagi penduduk Wilayah Persekutuan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS