Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan negeri juga batal rumah terbuka Aidilfitri
Diterbitkan:  Jul 25, 2014 1:53 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Kerajaan-kerajaan negeri turut membatalkan atau menangguhkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri 2014, ketika negara diselubungi kesedihan dengan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

    

Pembatalan atau penangguhan itu juga selaras dengan keputusan pembatalan Majlis Rumah Terbuka Anggota Jemaah Menteri Aidilfitri 2014 yang diumumkan pejabat Perdana Menteri semalam.

    

Kabinet juga bersetuju membatalkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2014 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang dijadual diadakan di Rembau, Negeri Sembilan.

    

Walaupun seluruh negara sedang bersedih atas tragedi ini, umat Islam masih disyariatkan untuk meraikan Aidilfitri setelah sebulan mengerjakan ibadat berpuasa di bulan Ramadan dengan sempurna dan kembali ke jalan fitrah Ilahi.

    

Majlis sambutan Aidilfitri tahun ini masih boleh diadakan tetapi perlulah bersederhana dan penuh tertib.

Pesawat MH17, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga Malaysia, terhempas di wilayah Donetsk di timur Ukraine pada 17 Julai. Pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh.

Di JOHOR BAHARU , rumah terbuka Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang sepatutnya diadakan pada 1 Syawal di kediaman rasminya di Saujana telah ditangguhkan ke 3 Ogos.

    

Mohamed Khaled menerusi twitternya berkata majlis itu diadakan di Stadium Tertutup Pasir Gudang mulai  11 pagi hingga 3 petang.

    

"Keputusan ini dibuat bagi menghormati kejadian yang menimpa pesawat MH17," katanya.

    

Di MELAKA , Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron mengumumkan kerajaan negeri telah mengambil keputusan menangguhkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dijadualkan pada 1 Syawal di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

    

Sebaliknya, beliau menerusi kenyataan hari ini berkata majlis itu akan diadakan pada 9 Ogos di tempat yang sama bermula pukul 10.30 pagi hingga 4 petang.

    

Di KUALA TERENGGANU , Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi Seri Iman yang dijadualkan 1 Syawal turut dibatalkan.

    

Di LABUAN , Anggota Parlimen Labuan Datuk Rosman Isli berkata Rumah Terbuka Aidilfitri Labuan dibatalkan atas arahan Kementerian Wilayah Persekutuan selaras dengan keputusan Kabinet.

    

Rumah Terbuka Aidilfitri diadakan setiap tahun oleh Perbadanan Labuan dengan dihadiri semua lapisan masyarakat.

    

Di SEREMBAN , Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dijadualkan pada 1 Syawal di perkarangan Dewan Undangan Negeri dibatalkan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

    

Bagaimanapun, katanya rumah terbuka beliau sempena Aidilfitri di Kampung Tanjung, Rantau, pada 2 Ogos akan diadakan mengikut jadual dari 10 pagi hingga 5 petang.

Di PADANG BESAR, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata kerajaan negeri turut mengikuti keputusan kerajaan pusat membatalkan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri yang dijadual berlangsung di The Residency, kediaman rasmi Menteri Besar di Kangar pada 7 Ogos.

    

"Untuk tahun ini tiada Rumah Terbuka Hari Raya," kata Azlan yang ditemui selepas penyerahan kuih raya oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada agensi-agensi yang bertugas di sempadan Malaysia/Thailand pada Hari Raya ini, di Padang Besar hari ini.

    

Di KOTA KINABALU, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman Aman mengumumkan pembatalan majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Sabah yang dijadual pada Hari Raya kedua di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

    

Di GEORGE TOWN, Majlis Rumah Terbuka kerajaan negeri Pulau Pinang bersempena Hari Raya Aidilfitri 2014 dibatalkan bagi menghormati mereka yang terkorban dalam tragedi pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine 17 Julai lepas.

    

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata Anggota Dewan Undangan Negeri boleh mengadakan sambutan Hari Raya di kawasan masing-masing secara sederhana.

Di KUANTAN, Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang sempena Aidilfitri 2014 yang dijadual pada 1 Syawal di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini turut dibatalkan.

    

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata majlis yang sepatutnya diadakan dari jam 11 hingga 4 petang itu dibatalkan sebagai tanda bersimpati dengan nahas pesawat negara MH17.

    

Dalam masa sama, Majlis Rumah Terbuka Datuk Seri Adnan Yaakob yang dijadual diadakan pada 3 Syawal di Bentong turut dibatalkan.

    

Di KOTA BHARU, Umno Kelantan turut menyambut baik keputusan kerajaan membatalkan Majlis Rumah Terbuka Anggota Jemaah Menteri dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia 2014 bagi menghormati mereka yang terkorban dalam nahas pesawat MH17.

    

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pembatalan tersebut melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap keluarga penumpang dan anak kapal MH17.

Sementara itu Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda menyambut baik langkah kerajaan persekutuan dan negeri menangguh atau membatalkan majlis terbuka itu.

    

"Kita turut memahami kesukaran yang dialami anggota keluarga yang terlibat dan ini satu contoh yang baik serta menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan yang begitu menjiwai perasaan rakyat," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

    

Beliau berkata tindakan ini wajar kerana pada masa sama semua pihak masih menunggu jenazah mangsa nahas pesawat MH17 untuk diterbangkan pulang ke Malaysia.

    

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Dr Marimuthu Nadason turut bersetuju dengan keputusan kerajaan membatalkan majlis sambutan rumah terbuka sempena Aidilfitri 2014.

    

"Kita mengalu-alukan tindakan kerajaan setelah melihat apa yang berlaku kepada negara kita dan seluruh rakyat haruslah terus berdoa kepada semua mangsa tidak mengira agama dan bangsa," katanya.

Di IPOH, kerajaan negeri tidak akan mengadakan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfiri bagi menghormati mereka yang terkorban dalam tragedi MH17.

    

Menurut kenyataan Unit Komunikasi dan Media, Pejabat Menteri Besar Perak, ini sejajar dengan keputusan Kabinet yang membatalkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2014.

    

"Kerajaan negeri menghormati perasaan keluarga, rakan-rakan, para penumpang dan anak kapal MH17. Kita turut sama bersedih," menurut kenyataan itu.

    

Di SHAH ALAM, kerajaan Selangor juga memutuskan untuk membatalkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri.

    

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata seluruh negara bersedih dengan tragedi ini namun umat Islam masih disyariatkan untuk meraikan Aidilfitri setelah sebulan mengerjakan ibadat berpuasa di bulan Ramadan dengan sempurna.

    

  -Bernama

Lihat Komen
ADS