Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Angkat berat beri emas pertama M'sia
Diterbitkan:  Jul 27, 2014 12:00 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

Mohd Hafifi Mansor meraih pingat emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Komanwel ke-20 melalui acara angkat berat kategori 69kg di Glasgow, sebentar tadi.

Sementara Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David menepati ramalan apabila melangkah ke separuh akhir dengan mengetepikan Jenny Duncalf pada Sabtu, lapor Bernama.

Nicol, pemain nombor satu dunia, mengatasi pemain England itu 3-1 dalam pertarungan suku akhir selama 56 minit.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 30 tahun itu memenangi dua set pertama dengan 11-9 dan 11-7 sebelum Jenny bangkit semula untuk memenangi set ketiga 11-5.

Bagaimanapun, Nicol, mengesahkan kemenangan dengan keputusan 11-4 pada set keempat.

"Jenny merupakan pemain berpengalaman dan saya terpaksa bekerja keras khusus dalam set keempat. Perlawanan ini memang sengit dari mula lagi," Nicol dipetik sebagai berkata.

Hoki langkah kanan

Sementara itu, Skuad hoki lelaki negara pula membuka kempen Sukan Komanwel ke-20 dengan langkah kanan apabila mengalahkan Kanada 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, Sabtu.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional Glasgow, skuad negara membuka tirai jaringan menerusi Ahmad Kazamirul Nasruddin pada minit ke-14, lapor agensi berita nasional.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan Kanada kembali mengatur langkah dengan mengasak benteng pertahanan Malaysia tetapi gawang pasukan negara kekal selamat.

Tiga mata akhirnya menjadi milik skuad hoki negara sebaik Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin meledak gol kedua pada minit ke-68.

Turut bersama Malaysia dalam kumpulan B ialah New Zealand, England dan Trinidad & Tobago.

Penolong jurulatih K.Gobinathan berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan kemenangan pertama itu namun skuad negara perlu mengurangkan kesilapan sebelum berdepan dengan England, Ahad ini.

Suryani bidik gangsa

Atlet menembak kebangsaan Nur Suryani Mohd Taibi pula membidik pingat gangsa dalam acara 10m Air Rifle individu wanita di Barry Buddon Shooting Centre, Carnoustie.

Nur Suryani membidik 184.4 mata manakala pingat emas dan perak dimenangi oleh atlet dari India, Arpuvi Chandela dan Ayonika Paul masing-masing dengan 206.mata dan 204.9 mata.

Nur Suryani berkata beliau berharap kejayaan itu dapat memberikan motivasi kepada atlet menembak lain untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik.

"Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian hari ini, memang tidak menafikan penembak dari India merupakan atlet terbaik dunia.

"Masih ramai lagi atlet menembak yang hebat belum beraksi, saya yakin mereka akan meraih kejayaan yang lebih baik kepada kontinjen," beliau dipetik berkata kepada pemberita oleh Bernama.

Lihat Komen
ADS