Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Paras air lebih rendah berbanding masa catuan
Diterbitkan:  Jul 27, 2014 5:38 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP hari ini membangkitkan soal kapasiti semasa empangan Selangor yang dikatakan amat membimbangkan kerana lebih rendah berbanding ketika catuan dilaksanakan pada Mac lalu.

Lee Kee Hiong (Kuala Kubu Bharu) berkata, semakannya pada 26 Julai (semalam) menunjukkan peratus takungan di Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi kini serendah 35.14 dan 49.29 peratus.

Sedangkan, tambahnya, semasa catuan sebelum ini, ia berada pada tahap 36.39 peratus dan 60.97 peratus.

Kedua-kedua empangan yang kapasitinya turun mendadak itu membekalkan sumber air mentah bagi memenuhi 61 peratus daripada permintaan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Dengan keadaan sedemikian, kerajaan Selangor perlu menjelaskan sama ada Selangor akan menghadapi satu krisis air yang lebih besar berbanding dengan krisis air yang dihadapi pada bulan Mac dan April yang lalu.” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Lee ( atas ) juga berkata, jika paras semasa tidak akan mengundang krisis, rakyat Selangor berhak mengetahui kenapa catuan dilaksanakan pada masa itu.

“Adakah langkah catuan air pada masa itu adalah satu kesilapan Kerajaan Selangor?” soalnya.

Katanya, kerajaan Selangor sebelum ini melaksanakan catuan dengan alasan untuk mengelakkan empangan kering dan mengelakkan gangguan bekalan air lebih berskala besar.

Lee berkata, kerajaan Selangor perlu memberi penjelasan sebagai pihak bertanggungjawab mengawal sumber air di negeri itu, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Lihat Komen
ADS