Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Insafi derita rakyat Palestin tanpa Aidilfiri
Diterbitkan:  Jul 28, 2014 12:28 AM
Dikemaskini: 4:33 PM

Rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana negara ini masih dalam keadaan aman dan damai sehingga boleh meraikan kedatangan Syawal tanpa sebarang rasa takut atau bimbang berkaitan aspek keselamatan.

    

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata justeru, pada hari yang mulia ini, rakyat perlu memperingati serta menghargai sumbangan pihak yang menjaga dan memelihara keamanan serta keselamatan negara daripada ancaman.

    

"Pasukan keselamatan kita adalah cekap dan berdedikasi, bersikap profesional dan sedar akan tanggungjawab mereka. Kita dapat merayakan Hari Raya dengan selamat kerana di sempadan, di laut dan di tempat-tempat tertentu pasukan keselamatan kita sanggup menjalankan tugas mereka dalam apa jua keadaan tanpa rehat atau cuti.

    

"Kepada anggota pasukan keselamatan, pegawai dan kakitangan awam yang lain kerajaan dan juga rakyat umumnya mengucap berbanyak terima kasih," katanya dalam perutusan Aidilfitri beliau semalam.

    

Timbalan Perdana Menteri berkata umat Islam di Malaysia juga perlu menginsafi nasib dan penderitaan saudara seagama di negara lain yang tidak dapat merayakan hari kebesaran ini.

Beliau berkata ada antara mereka yang terpaksa tinggal di kem pelarian yang amat daif, khemah yang koyak-rabak, tidak berselimut, tiada makanan dan ubat-ubatan untuk merawat sakit.

    

Lebih memilukan, katanya, apabila melihat penderitaan rakyat Palestin yang tidak dapat merayakan Aidilfitri dengan sempurna apabila diserang tentera Israel menyebabkan kemusnahan di bandar-bandar di negara itu.

    

"Masjid-Masjid dibedil, orang awam menjadi mangsa, jumlah yang terbunuh semakin meningkat. Aidilfitri bagi mereka (rakyat Palestin), sama seperti hari-hari lain di mana mereka tetap tinggal dalam ketakutan lantaran kekejaman Israel yang tidak dapat membezakan antara Hari Raya dan hari biasa," katanya.

    

Muhyiddin berkata hari raya bukan sekadar untuk bergembira tetapi masa untuk menginsafi hakikat bahawa tidak semua orang dapat menikmati kemeriahan sambutan itu.

    

Beliau juga berkata ketika kita meraikan Aidilfitri dengan penuh keriangan, anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang masih hilang dan MH17 yang terhempas selepas dipercayai ditembak jatuh, tentu sekali menyambutnya dalam keadaan berbeza.

    

"Tentunya bagi mereka sambutan Hari Raya tahun ini berbeza dan dilalui dengan perasaan sedih lantaran tidak lagi dapat bersama anak, isteri, suami serta cucu yang tiba-tiba 'hilang' dalam keadaan amat tragis," katanya.

    

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat Malaysia yang pulang ke kampung halaman bersempena perayaan ini dan akan kembali ke kota selepas itu, agar berhati-hati di jalan raya.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS