Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Malaysia kini sedang berunding dengan kerajaan Ukraine dan kumpulan pemisah, Republik Rakyat Donetsk, untuk mencapai gencatan senjata bagi memastikan laluan selamat untuk pasukan

penyiasat antarabangsa memasuki lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Torez, timur Ukraine.

    

Ketua Pasukan Siasatan Khas Malaysia, Khairil Hilmi Mokhtar berkata kawasan gencatan senjata yang dirundingkan adalah berada dalam lingkungan kira-kira 35km di lokasi nahas MH17 yang terhempas pada 17 Julai lepas.

    

Beliau berkata rundingan gencatan senjata itu bertujuan untuk membolehkan pasukan penyiasat antarabangsa, yang terdiri daripada Malaysia, Belanda dan Australia, mendapatkan semula sisa-sisa mayat mangsa dan bangkai pesawat Boeing 777-200ER untuk siasatan.

    

"Casis pesawat telah berselerak di sekitar kawasan tragedi itu dan ini adalah cabaran untuk kumpulan penyiasat untuk melaksanakan tugas mereka," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Ahad.

    

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, dipercayai ditembak jatuh, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Sehingga ini, tiada pihak mendakwa bertanggungjawab atas insiden tersebut.

    

Khairil Hilmi berkata tidak ada tempoh masa ditetapkan untuk rundingan bagi mencapai gencatan senjata antara kedua-dua pihak berkenaan.

    

"Ia (rundingan) masih berterusan. Keutamaan kami adalah untuk membawa balik sisa-sisa jasad mangsa serta siasatan di lokasi nahas dijalankan dengan  cepat," katanya.

    

Pasukan Siasatan Khas Malaysia telah menerima mayat mangsa dengan jumlah 227 keranda dibawa dari Kharkiv, Ukraine ke Eindhoven, Netherlands

    

Pasukan itu juga berjaya mendapatkan dua kotak hitam pesawat itu yang mengandungi data dan perakam suara selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berunding dengan ketua puak pemisah, Alexander Borodai, minggu lepas.

    

Berikutan rundingan gencatan senjata masih berterusan, Najib dijadual mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawat Netherlands, Mark Rutte, di The Hague, Rabu ini bagi membincangkan perkara berkaitan tragedi MH17.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS