Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MSN kecewaM'sia kalah pada Tinidad dan Tobago
Diterbitkan:  Jul 31, 2014 8:54 AM
Dikemaskini: 12:56 AM

Kekalahan skuad hoki  lelaki negara kepada pasukan tidak ternama, Trinidad dan Tobago, pada hari Selasa mengecewakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

    

Skuad hoki negara yang berada di ranking ke-13 dunia tewas 2-4 kepada pasukan ke-29 dunia, Trinidad dan Tobago, dalam perlawanan peringkat kumpulan.     

"Saya boleh katakan pasukan hoki kita telah mencipta sejarah apabila tewas kepada pasukan yang sebelum ini kita  tidak ketahui rankingnya.

    

"Kalau bercakap pasal Trinidad dan Tobago ini, mereka terkenal dengan pelari-pelari pecut mereka. Kekalahan semalam amat mengecewakan kita (MSN) dan seluruh rakyat Malaysia.

    

"Saya dapat maklum, banyak respon yang lahirkan kebimbangan mereka terhadap skuad hoki dalam menghadapi Sukan Asia nanti kerana keutamaan kita ialah untuk memenangi Sukan Asia bagi melayakkan diri secara automatik  ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro," katanya kepada pemberita di Edinburgh.

    

Zolkples berkata banyak perkara juga perlu diperhalusi dalam persediaan menghadapi temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September depan.

    

Menurutnya beliau juga telah memaklumkan kepada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya langkah drastik diambil bagi mempersiap pasukan negara untuk menghadapi Sukan Asia.

    

"Saya melahirkan pendapat saya bahawa jika skuad hoki terus dengan apa yang ada sekarang, saya rasa kita akan  dapat keputusan yang sama (di Sukan Asia).

    

"Tuanku juga sememangnya bimbang dengan prestasi skuad hoki kita di sini," katanya.

    

Zolkples berkata selepas berakhirnya Sukan Komanwel Glasgow, MSN akan mengadakan perbincangan dengan MHC bagi mencari jalan untuk meningkatkan prestasi skuad negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS