Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
9 parkir pesawat di KLIA2 ditutup sementara
Diterbitkan:  Aug 1, 2014 6:46 AM
Dikemaskini: Aug 1, 2014 6:51 AM

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menutup sementara sembilan parkir pesawat - K2-K18 - di KLIA2 selepas dinasihatkan oleh Kuala Lumpur Aviation Fuelling System (KAFS) bahawa berlaku penurunan tekanan dalam sistem penyaluran minyak kepada pesawat.

    

"Selaku operator lapangan terbang yang mementingkan keselamatan lapangan terbang dan penumpang, MAHB memandang serius perkara ini.

    

"Walaupun ia tidak menimbulkan kebimbangan, tindakan ini dilakukan sebagai langkah berhati-hati, selain membolehkan KAFS membuat pemeriksaan terperinci," kata operator lapangan terbang itu menerusi satu kenyataan semalam.

Ia berkata penutupan sementara ruang K2-K18 dianggarkan sehingga tengah malam Ahad, 3 Ogos, dan MAHB akan dibantu oleh KAFS dalam melaksanakan sebarang kerja membaik pulih.

    

MAHB sudah mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pengusaha syarikat penerbangan utama yang beroperasi di klia2, bagi memberikan maklumat terkini.

    

Ia tidak menjangkakan sebarang gangguan besar dalam operasi lapangan terbang memandangkan terminal berkenaan mempunyai ruang parkir yang mencukupi untuk digunakan oleh syarikat-syarikat penerbangan.

    

Berdasarkan prosedur operasi, MAHB sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Alam Sekitar.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Operasi) MAHB Datuk Azmi Murad memberitahu Bernama, pergerakan pesawat di lapangan terbang KLIA2 tidak terjejas meskipun sembilan ruang tempat letak pesawat ditutup sementara ekoran penurunan suhu dalam sistem bahan bakar jet.

    

Katanya, lapangan terbang hibrid itu berjalan seperti biasa memandangkan MAHB mempunyai lebihan ruang tempat letak pesawat.

    

"KLIA2 mempunyai 80 ruang tempat letak pesawat dan secara purata sebanyak 60 pesawat menggunakan ruang tersebut, dan oleh itu operasi penerbangan di KLIA2 berjalan seperti biasa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS