Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB S'gor beri jaminan tiada kenaikan tarif air
Diterbitkan:  Aug 1, 2014 5:32 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan kadar tarif air di Lembah Klang tidak akan dinaikkan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga ke empat tahun akan datang.

    

Beliau berkata ini berikutan kejayaan penstrukturan semula industri air Selangor yang mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan industri tersebut.

    

"Dengan termeterainya Perjanjian Dasar Induk ini menandakan rundingan penstrukturan semula industri air Selangor yang telah diusahakan semenjak 2006 sudah hampir ke penghujungnya dan mencapai kejayaan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor di Putrajaya hari ini.

    

Katanya pemeteraian perjanjian itu dengan kerajaan Pusat bagi pelaksanaan penstrukturan semula industri air Selangor dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dianggap sebagai kemenangan untuk rakyat.

"Kerajaan negeri juga berpandangan tawaran RM9.65 bilion yang diberikan kepada pihak konsesi adalah adil dan munasabah tanpa merugikan syarikat-syarikat yang terlibat," kata Abdul Khalid.

    

Menteri besar berkata kerajaan negeri telah membuat tawaran kepada kesemua empat syarikat konsesi air dengan pemilik saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd dan Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) telah menerima tawaran tersebut manakala pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPALSH) masih belum dimuktamadkan.

    

Terdahulu, Abdul Khalid menandatangani Perjanjian Dasar Induk bagi penyelesaian jangka panjang isu air Selangor bersama-sama dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

    

"Kejayaan mengambil alih SYABAS akan membolehkan kejayaan negeri memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf saluran paip air dengan tujuan menurunkan kadar air tak berhasil yang pada ketika ini sangat tinggi iaitu 34 peratus," katanya.

    

Sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan Persekutuan dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Abdul Khalid dalam nada berseloroh berkata: "Saya rasa beliau (Menteri KeTTHA Datuk Seri Dr Maximus Ongkili) lebih senang daripada saya, saya ada tiga 'political mother in-law'... masih ada harapan tapi tidak boleh lagi".

    

- Bernama

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS