Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kenyataan bersama berhubung isu air di S'gor
Diterbitkan:  Aug 1, 2014 7:10 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Berikut adalah kenyataan media bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor berhubung penyelesaian jangka panjang isu air di negeri berkenaan.

Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor hari ini menandatangani "perjanjian dasar induk" bagi penyelesaian jangka panjang isu air Selangor.

Lanjutan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor yang telah ditandatangani pada 26 Februari 2014, hari ini termeterai satu lagi sejarah yang menandakan kerjasama erat dan komitmen berterusan antara kedua-dua pihak untuk melaksanakan penyelesaian jangka panjang berkaitan isu air di negeri Selangor dan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    

Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, Y.B. Datuk Seri Panglima Maximus Ongkili, dan Kerajaan Negeri Selangor yang diwakili oleh Dato' Menteri Besar Selangor Darul Ehsan, Y.A.B. Tan Sri Dato' Seri Khalid bin Ibrahim, telah menandatangani "Perjanjian Antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Selangor Mengenai Pelaksanaan Memorandum

Persefahaman Antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor Berhubung Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Selangor".

    

Majlis Menandatangani Perjanjian ini turut dihadiri oleh anggota Kabinet Persekutuan, barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan pegawai-pegawai kanan Kementerian dan Kerajaan Negeri Selangor.

Pencapaian yang penting (breakthrough) ini terhasil setelah beberapa perbincangan diadakan antara kedua belah pihak berasaskan kepercayaan bahawa pertimbangan politik harus diketepikan demi menyelesaikan isu bekalan air dan penstrukturan semula industri air Selangor bagi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

    

Kebanyakan kandungan MoU tersebut telah diperincikan dalam Perjanjian ini dan beberapa perkara penting sudahpun dimulakan pelaksanaannya termasuk Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (Projek LRAL2) dan penstrukturan semula industri bekalan air Selangor. Selain daripada ini adalah pelaksanaan projek-projek mitigasi yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi kekurangan bekalan air, Hybrid off River Augmentation System (HORAS) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan penyaluran air mentah secara sementara dari terowong Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) ke Sg Langat.

    

Bagi penstrukturan semula, urusan pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi di negeri Selangor oleh Kerajaan Negeri Selangor telah dimulakan sebaik sahaja MoU tersebut ditandatangani. Untuk itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah mengemukakan tawaran pengambilalihan kepada pemegang-pemegang saham empat buah syarikat konsesi iaitu ABASS, SYABAS, Puncak Niaga Sdn. Bhd. dan SPLASH. Setakat hari ini, hanya pengambilalihan SPLASH sahaja yang belum dapat dimuktamadkan.

    

Perjanjian ini juga menggariskan tindakan-tindakan penting untuk memuktamadkan pengambilalihan konsesi-konsesi tersebut. Antaranya, pemindahan aset-aset air Selangor yang tidak berkaitan dengan syarikat-syarikat konsesi berjumlah RM2 bilion kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), iaitu anak syarikat milik penuh Kerajaan Persekutuan. Hasil pemindahan ini akan digunakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan KDEB untuk membiayai pengambilalihan ekuiti syarikat-syarikat konsesi tersebut.

    

Perjanjian ini juga menetapkan kaedah penstrukturan semula industri bekalan air ini yang melibatkan:

    

a) Penggabungan operator-operator air di bawah satu special purpose vehicle (SPV) milik penuh Kerajaan Negeri Selangor yang dilesenkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA);

    

b) Pelaksanaan asset light model melalui pemindahan liabiliti dan aset-aset air bersangkutan dengannya kepada PAAB; dan

    

c) Pemajakan aset-aset air oleh PAAB kepada SPV tersebut.

    

Kerajaan Persekutuan juga akan terus komited untuk memudah cara penstrukturan semula ini bagi memastikan rundingan diteruskan antara Kerajaan negeri Selangor dan syarikat konsesi yang belum bersetuju dengan tawaran KDEB bagi membolehkan hasrat pengurusan air secara holistik dan asset light di negeri Selangor tercapai.

    

Perjanjian ini juga memperincikan kaedah dan komitmen kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan Projek LRAL2 disiapkan pada pertengahan tahun 2017. Dengan siapnya LRAL2 ini, bekalan air yang lebih terjamin sepanjang masa sudah tentu akan memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada kehidupan harian rakyat.

    

Dalam hal ini juga, Kerajaaan Negeri Selangor akan mengeluarkan semua kelulusan, termasuk berkaitan tanah, kebenaran merancang, permit dan izin lalu bagi jajaran penghantaran bekalan elektrik, yang diperlukan untuk pelaksanaan Projek LRAL2.

    

Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Projek LRAL2 yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Dato' Menteri Besar Selangor juga telah ditubuhkan dan telah pun bersidang. Lanjutan daripada itu, dua Jawatankuasa Kerja termasuk satu daripadanya yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga telah ditubuhkan bagi menyelesaikan urusan-urusan berkaitan pelaksanaan Projek LRAL2 ini.

    

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa urusan penstrukturan semula industri bekalan air Selangor dan pelaksanaan Projek LRAL2 ini perlu diberikan perhatian penuh supaya dapat menjamin bekalan air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara jangka panjang.  

    

Dengan termeterainya Perjanjian pada hari ini, hala tuju dan prinsip-prinsip asas yang ditetapkan akan memudahkan gerak kerja bagi menyelesaikan isu-isu bekalan air negeri Selangor. Kepastian ini juga akan membolehkan semua projek pembangunan, industri dan komersial yang telah terjejas berikutan ketidaktentuan bekalan air dapat diteruskan di Lembah Klang.

    

Kami berdua juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan yang telah diberikan oleh semua pihak yang membantu menjayakan penstrukturan semula industri bekalan air Selangor dan pelaksanaan Projek LRAL2 bagi menyelesaikan isu bekalan air jangka panjang, terutamanya kepada anggota Kabinet Persekutuan, barisan Exco Negeri Kerajaan Selangor serta pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Tan Sri Khalid Ibrahim

- Bernama

Lihat Komen
ADS