Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: S'gor tidak akan laksanakan catuan air
Diterbitkan:  Aug 1, 2014 10:00 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Kerajaan Negeri Selangor buat masa ini tidak akan melaksanakan program catuan air secara berjadual bagi mengimbangi bekalan air di beberapa buah kawasan ekoran musim kering melampau ketika ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

    

Beliau juga menafikan dakwaan kononnya paras air di beberapa empangan di negeri ini masih di bawah paras minimum dan membimbangkan.

    

Katanya, kerajaan negeri  mempunyai beberapa opsyen bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga bulan November yang dijangka musim tengkujuh.

    

"Antaranya menggunakan air daripada kolam-kolam sedia ada.  Begitu juga hari ini dan dua hari yang lepas, kita telah mengadakan pembenihan awan dan hasilnya kita telah mendapat hujan yang telah menambah lagi paras air di empangan dan kawasan lembah.

    

"Jadi kita tidak ingin buat catuan sebab kalau program penjagaan air mentah ini dapat dilakukan dan Insya-Allah dapat diteruskan sehingga bulan November, perkara ini (bekalan air) tidak jadi masalah,” katanya kepada pemberita  di Putrajaya hari ini.

    

Terdahulu beliau dan barisan Exco menghadiri majlis menandatangani Perjanjian Dasar Induk berhubung pelaksanaan memorandum persefahaman antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor berhubung penstrukturan semula industri bekalan air Selangor.

    

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata Exco kerajaan negeri Dr Ahmad Yunus Hairi dipertanggungjawabkan untuk memaklumkan isu air termasuk paras air dan bagaimana mengatasi isu bekalan air.

    

"Paras kritikal air (di empangan) adalah 30 peratus. Untuk maklumat rakyat, Dr Yunus sendiri, setiap dua hari akan memberi tahu keadaan air dan bagaimana kita mengatasi perkara ini," katanya.

    

Baru-baru ini dilaporkan paras air di dua daripada lapan empangan di Selangor masih di bawah paras minimum 55 peratus..

    

Menurut statistik laman web Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) www.iwrims.luas.gov.my  pada 31 Julai, paras air di dua empangan yang masih di bawah paras minimum ialah Sungai

Selangor (33.46 peratus) dan Sungai Tinggi (47.39 peratus).

    

Pada Februari lepas kerajaan negeri Selangor melaksanakan program catuan air secara berjadual di seluruh negeri bagi mengimbangi bekalan air di beberapa kawasan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS