Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ekoran bantahan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap penetapan tarikh 8 dan 9 September untuk Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes Liwat II, mahkamah tertinggi di negara ini telah mengambil keputusan untuk mengosongkan tarikh tersebut.

Berikutan itu, pengurusan kes rayuan Liwat II ditetapkan di mahkamah terbuka Khamis depan di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif untuk menentukan tarikh baru rayuan itu didengar.

Perkembangan ini telah disampaikan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Izzudin Mohamad, kepada peguam Anwar dan juga pihak pendakwa serta pembantu Datuk Muhammad Shafee Abdullah, yang turut hadir.

Sebelum ini dilaporkan peguam Anwar membantah apabila Mahkamah Persekutuan mahu meneruskan juga pendengaran rayuan terhadap sabitan kes Liwat 11 itu pada 8 dan 9 September.

Ini walaupun mereka telah mengemukakan sijil perubatan daripada peguam utama Datuk Sulaiman Abdullah yang tidak dapat hadir sehingga 13 Oktober kerana cuti sakit.

Sulaiman baru sahaja menjalani pembedahan lutut dan juga mempunyai masalah jantung.

Tarikh 8 dan 9 September itu dimaklumkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini, yang bertegas rayuan itu didengar pada tarikh tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hanafiah Zakaria bertanya kepada peguam sama ada terdapat tujuan untuk Anwar menangguhkan pendengaran rayuan itu dengan melantik Sulaiman (kanan) untuk mewakilinya.

Peguam N Surendran membantah dengan berkata Sulaiman telah dilantik selepas kematian mengejut Karpal Singh dalam nahas jalan raya dan ini memang telah diketahui ramai.

Peguam kemudian meminta bertemu dengan hakim berkenaan tengah hari ini untuk menjelaskan keadaan tersebut dan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ketegasan mahkamah mahu meneruskan juga pendengaran rayuan itu pada 8 dan 9 September.

Bagaimanapun, pada pukul 12.30 tengah hari ini, pengurusan kes itu dilakukan oleh Izzuddin dan bukan Hakim Datuk Md Raus seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Anwar merayu terhadap sabitan dan hukuman terhadap tuduhan Liwat II, manakala Peguam Negara merayu untuk menambah hukuman lima tahun penjara.

Mahkamah Persekutuan bertegas untuk mendengar rayuan itu pada 8 dan 9 September sejak pengurusan kes itu bulan lepas.

Selain Surendran (kiri), peguam lain yang hadir hari ini ialah R Sivarasa, Sangeet Kaur dan Latheefa Koya.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac tahun ini oleh Mahkamah Rayuan, yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebas Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.

Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan itu - Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh - memutuskan bahawa hakim perbicaraan yang menolak bukti DNA itu, telah gagal untuk "menilai secara kritikal" bukti yang dikemukakan oleh ahli kimia kerajaan, Dr Seah Lay Hong.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS