Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, nama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tetap menjadi pilihan sebagai menteri besar walaupun pihak istana Selangor menolak permohonan menghadap presiden parti itu.

Selain itu, Rafizi turut menafikan laporan berita bahawa PKR akan membincangkan nama lain bagi calon menteri besar Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Nama lain tidak ada. PKR dan DAP sudah sebulat suara tidak akan ada nama lain. Saya boleh beritahu dengan jelas. Tidak akan ada nama lain selain Wan Azizah dan ia sudah dapat persetujuan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Rafizi berkata demikian ketika diminta mengulas sebuah laporan berita yang mendakwa pimpinan PKR dijangka membincangkan nama calon menteri besar yang baru pada mesyuarat biro politik parti selepas istana Selangor menolak permohonan menghadap Wan Azizah.

Laporan itu juga menyebut, mesyuarat malam ini juga dibuat berikutan penolakan PAS yang tidak mahu isteri Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi menteri besar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan menerima menghadap Wan Azizah kerana baginda tidak mahu campur tangan dalam isu dalaman PKR.

Setiausaha sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan istana menerima surat permohonan itu yang ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad untuk memberi penjelasan berhubung isu itu.

Lihat Komen
ADS