Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pelakon dan pelawak terkenal, Maidin atau nama sebenarnya Maidin Ibrahim, 76, meninggal dunia akibat serangan jantung, pukul 2 petang tadi di rumahnya di Kampung Pokok Tai, dekat Gurun.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Habirah Rahim, 59, lima anak iaitu empat perempuan dan seorang lelaki, serta 13 cucu.

Habirah berkata suaminya itu sudah lama menghidap penyakit jantung namun tidak menyangka arwah akan meninggalkannya dalam masa terdekat.

"Arwah berhajat mahu makan nasi kandar di sebuah restoran kegemarannya di Sungai Petani, dan kami baru sahaja pulang dari sana kira-kira 1.30 tengah hari tadi," katanya kepada pemberita di rumahnya, hari ini.

Jenazah pelakon dan pelawak veteran Maidin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Taman Seri Jerai, dekat Gurun, selepas solat Isyak.

Difahamkan, arwah yang perlu menjalani rawatan di Institut Jantung Negara setiap bulan, tidak lagi aktif dalam bidang lakonan mahupun terlibat dalam sebarang persembahan sejak disahkan menghidap sakit jantung lebih lima tahun lepas.

Allahyarham yang dilahirkan di Pokok Keras, Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang itu mula bergiat dalam bidang seni dengan menyertai kumpulan boria di kampungnya sekitar 1950-an.

Allahyarham yang popular dengan lakonannya di dalam Anak Mami turut pernah membintangi sitkom Salam Pantai Timur dan pernah memenangi anugerah Aktor Pembantu Terbaik di Anugerah Skrin 2001 menerusi drama Pinang Durian.

- Bernama

Lihat Komen
ADS