Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengetua sekolah menengah di Simpang Ampat dekat George Town diminta mengadakan perhimpunan khas berhubung kes seorang pelajarnya disiasat polis selepas menekan butang 'like' di laman peminat 'I Love Israel' di Facebook baru-baru ini.

    

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Osman Hussain berkata perhimpunan itu bertujuan memberi peringatan kepada warga sekolah supaya lebih peka dan bersifat matang dalam mengeluarkan pendapat atau memberi respons mengenai isu sensitif yang berlaku di sekeliling mereka.

    

Jabatan Pendidikan negeri turut bercadang mengatur sesi kaunseling kepada pelajar dan guru yang mengkritik pelajar itu dalam masa terdekat dan telah berjumpa kedua-dua pihak semalam, katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Daerah Timur Laut di George Town hari ini.

    

Semalam media melaporkan seorang guru dari sekolah yang sama turut

mengkritik tindakan pelajar itu dalam Facebook miliknya sehingga mengundang komen daripada pengguna lain yang mengecam perkara itu.

    

"(Tindakan) dua-dua (guru dan pelajar) tak berapa betul. Pelajar kena

sensitif dengan masyarakat sekeliling, guru pula kena jaga, sayang pelajar walau siapapun mereka dan beri tunjuk ajar kalau mereka buat salah," katanya.

Beliau berkata pelajar berkenaan telah kembali bersekolah seperti biasa dan pihaknya menyerahkan kes itu kepada polis.

    

Osman turut meluahkan rasa kesal kerana perkara itu dihebahkan dalam laman sosial sehingga mencetus kontroversi sedangkan ia boleh ditangani secara muhibah dalam suasana 'kekeluargaan' kerana kedua-dua individu datang daripada sekolah yang sama.

    

"Kami juga akan meneliti tindakan sesuai yang boleh diambil terhadap

kedua-dua belah pihak selepas siasatan polis selesai. Tak nak selesai macam itu sahaja, supaya mereka belajar sesuatu daripada insiden ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS