Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kertas siasatan berhubung kes memindah dan mengeluarkan wang daripada akaun mangsa pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membabitkan seorang pegawai bank dan suaminya, telah siap dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan segera perlu diambil terhadap pasangan suami isteri itu kerana perbuatan yang dilakukan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak beretika.

"Sebab itu polis mengambil tindakan segera dan menangkap pegawai bank berkenaan yang telah membolosi akaun bank. Kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut agar ia menjadi pengajaran kepada mana-mana (pegawai) institusi kewangan untuk tidak mengambil kesempatan dalam kesempitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Padang Rengas di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pegawai bank tidak sepatutnya melakukan perkara sedemikian kerana perbuatan itu telah melanggar etika kerja sebagai individu yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga akaun pelanggan.

"Pada pendapat saya pihak bank juga perlu bertanggungjawab dalam kes ini dengan membayar pampasan dan tuntutan insurans kepada keluarga mangsa kerana perbuatan itu tidak amanah dan tidak berintegriti," katanya.

Pegawai bank itu ditahan pada Khamis lepas di rumahnya di Ampang kira-kira pukul 4 petang manakala suaminya ditahan di bengkel kereta di Ampang ketika membaiki keretanya.

Rabu lepas media melaporkan sebanyak RM110,643 milik empat penumpang pesawat MH370 lesap daripada akaun bank dipercayai dipindahkan ke akaun penumpang lain melalui perbankan Internet oleh kakitangan bank tanpa kebenaran.

Akaun berkenaan masing-masing milik dua penumpang warga China, seorang penumpang warga Malaysia dan akaun seorang pramugara.

Kejadian disedari pada 18 Julai lepas oleh seorang petugas bank yang mengesan beberapa transaksi pengeluaran dan pemindahan secara mencurigakan daripada empat akaun berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS