Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Idris Jala yakin Malaysia Airlines (MAS) mempunyai masa depan – jika syarikat penerbangan negara itu dapat menangani kemelut semasa.

Beliau berkata pengurusan MAS perlu mengikut Pelan Transformasi Perniagaan (BTP2), yang dilancarkan semasa beliau berkhidmat dengan syarikat penerbangan tersebut pada 2008.

BTP2 mengandungi proses yang terperinci, langkah demi langkah bagi syarikat penerbangan itu untuk terus bertahan.

"Ketika saya bersama MAS, persoalannya ialah apa yang kita perlu lakukan untuk masa depannya. (Dalam BTP2) Saya menjangkakan bahawa menjelang 2012, senario kes terburuk ialah MAS rugi antara RM650 juta hingga RM1 bilion atau lebih, dan itu yang berlaku.

"Jika kita dapat mengubah atau melakukan sesuatu yang luar biasa dan mengikut semua langkah-langkah (disenaraikan dalam BTP2), saya menjangkakan MAS dapat menjana keuntungan sehingga RM1.5 bilion," kata Idris sebagai anggota panel pada sesi 'Pemimpin Baharu pada Abad Ke-21' pada Persidangan Kepimpinan Asia 2014 di Petaling Jaya hari ini.

Persidangan sehari itu bertemakan,"Kepimpinan dan Inovasi pada Abad Ke-21", dianjurkan oleh Sunway Education Group, Yayasan Jeffrey Cheah, Centre for Asia Leadership Initiatives dan Asia Leadership Trek dengan sokongan Harvard University Asia Centre.

Inisiatif BTP2 ialah mengubah MAS kepada syarikat penerbangan dengan lima bintang dan menerima proses lima langkah dengan jelas, termasuk mengekalkan perkhidmatan lima bintang, mengurangkan kos, menawarkan harga yang kompetitif dan meluaskan rangkaian dengan memperkenalkan laluan baharu, berasaskan permintaan.

Idris menyertai MAS sebagai ketua pegawai eksekutif pada 1 Sept, 2005 dan ketika itu syarikat penerbangan tersebut mencatatkan kerugian sebanyak RM1.3 bilion.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, MAS mencatat keuntungan bersih sekurang-kurangnya RM851 juta hanya dalam tempoh dua tahun.

"Semasa saya menyertai MAS, kami hanya mempunyai wang bagi tempoh dua setengah bulan. Kami tidak mempunyai wang untuk membayar gaji dan juga bahan api.

"Sesetengah mungkin ingat bahawa kami menjual bangunan ibu pejabat kami dengan nilai RM130 juta untuk memberi kami cukup tunai untuk beroperasi bagi tempoh 20 hari," katanya ketika mengingati MAS meningkat dari era kejatuhannya.

Idris kemudian menyertai Kabinet pada 2009.

Beliau turut menasihati peserta persidangan untuk bertanyakan kepada diri mereka perubahan yang mereka boleh lakukan dalam bidang masing-masing, sentiasa menetapkan penanda aras yang tinggi dan menanganinya.

"Latar belakang saya adalah dalam bidang minyak dan gas (23 tahun dalam Shell). Apabila saya menyertai industri penerbangan, saya menunjukkan kepada mereka pelan saya dan tanya jika mereka yakin bahawa kita boleh berjaya, dan jika ia berbaloi untuk mencuba. Jawapannya ialah, tidak mungkin.

"Tetapi kami telah mencapai apa yang mustahil kepada orang lain," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS