Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menggesa kerajaan Sabah menjadikan hari Jumaat di negeri itu sebagai hari cuti bekerja bagi menyelesaikan masalah kekangan umat Islam dalam mengerjakan solat Jumaat.

Perkara ini dinyatakan Naib Presidennya Abdul Hakim Gulam Hassan yang meminta cadangan ini dipertimbangkan supaya umat Islam negeri itu dapat penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.

Abdul Hakim berkata ramai umat Islam di negeri itu menjadikan alasan kesesakan lalulintas serta urusan menghantar dan mengambil anak dari sekolah pada hari itu sebagai alasan tidak menunaikan solat Jumaat.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar hari Jumaat dan Ahad dijadikan sebagai hari bercuti bagi mengatasi masalah-masalah tersebut, katanya dalam suatu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.

"Saya mencadangkan hari Jumaat dan Ahad dijadikan hari bercuti manakala Sabtu tetap hari bekerja. Hal ini pastinya akan memberi kelegaan kepada rakyat kerana akan memberi keselesaan untuk beribadah.

“Saya merayu agar permasalahan ini turut diperhalusi oleh pemimpin-pemimpin serta ulama-ulama di negeri ini agar alasan sedemikian tidak lagi menjadi beban kepada umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat," katanya yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia).

Menurut Hakim lagi, beliau yakin Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dapat mempertimbangkan sebaiknya hal ini kerana sejak dahulu lagi Sabah kekal makmur dan maju dalam kesatuan semangat 1Malaysia.

Lihat Komen
ADS