Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tanggal 17 Ogos 2014 yang lalu menjadi satu tarikh yang amat ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia bahkan antarabangsa.

Bagi PAS, ia merupakan salah satu ' historical moment ' dalam sejarah panjangnya di pentas politik tanah air.

Keputusan telah pun dicapai. Semua orang sudah tahu.

Namun yang penting bagi saya, dinamika yang berlaku dalam PAS sepanjang berinteraksi dengan isu ini adalah pengalaman yang amat berharga khususnya bagi saya sendiri yang baru sahaja diamanahkan sebagai ketua Pemuda PAS.

Media pro-Umno - seperti kebiasaannya - terus menerus menggambarkan bahawa keputusan dibuat oleh PAS dalam mesyuarat 17 Ogos yang lalu sebagai tidak ' gentleman '.

PAS diwarnakan menerusi media-media mereka sebagai 'membuat pusingan U' demi mengikut telunjuk DAP.

Mentera mereka bahawa PAS berjaya diperalat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu semamangnya sudah pasti.

Jalan alternatif

Saya berpandangan bahawa PAS bukanlah membuat pusingan U khususnya apabila ada yang memetik kenyataan dikeluarkan oleh presiden serta Majlis Syura Ulama sebelum ini yang ternyata kononnya tidak sejajar keputusan mesyuarat AJK Pusat PAS pada 17 Ogos.

Bagi saya, PAS mengambil jalan alternatif setelah jalan yang asalnya sudah rosak.

Jalan asal adalah menerima Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar. Asasnya adalah kemampuan beliau dalam mentadbir Selangor. Berita tentang kelemahan politik Khalid pada pandangan PAS masih bersifat dalaman parti dan ia boleh diperbaiki oleh partinya sendiri.

Mengekalkannya dengan menambah baik prestasi politik Khalid jauh lebih rendah risikonya berbanding mengugurkannya. Bahkan kepimpinan utama Pakatan Rakyat juga boleh memberikan cadangan, pandangan serta kritikan kepada PKR menerusi mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Namun, jalan yang dilalui PAS tidak seperti difikirkan pada awalnya. Masalah yang dihadapi Khalid seperti perbincangan dan pertimbangan panjang pucuk kepimpinan partinya sendiri mengakibatkan keahliannya sebagai anggota PKR digugurkan.

Nah, Khalid bukan lagi ahli PKR sekaligus beliau bukan lagi dari Pakatan Rakyat.

Dalam konteks ini, kita perlu sedar bahawa tahalluf siyasi PAS adalah dgn PKR dan DAP, bukan dengan batang tubuh Khalid!

Maka PAS mengambil jalan baru dengan menolak Khalid. Inilah yang saya sifatkan sebagai dinamika PAS dalam membuat sesuatu keputusan. Seperti harusnya sesuatu minuman itu diminum, menjadi terlarang sekiranya keadaan minuman itu bertukar menjadi minuman yang memabukkan.

Jalan baru PAS adalah menolak Khalid dari kerusi MB. Jalan baru ini memerlukan PAS  menamakan pengganti kepada kerusi MB.

Bagaimanapun, jalan baru PAS tetap ke hadapan dan bukannya pusingan U seperti yang digambarkan oleh media pro-Umno.

Dua nama, satu alternatif

Presiden PAS mempunyai hubungan agak baik dengan istana Selangor.

Pada Syawal keempat, beliau dititah menghadap sultan. Hasilnya, presiden membuat keputusan bahawa satu nama alternatif perlu dikemukakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan melibatkan istana dan Datuk Seri Wan Azizah.

Atas pertimbangan-pertimbangan tersebut, PAS mengambil jalan tengah dengan menamakan Azmin Ali (selepas Wan Azizah) sebagai alternatif.

PAS boleh sahaja mengemukakan nama dari ahli partinya sendiri sebagai alternatif kepada Wan Azizah. Namun atas semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat, keputusan itu tidak mungkin dibuat oleh PAS.

PAS juga penuh sabar ditohmah khianat terhadap Pakatan kerana mengekalkan empat orang exco bersama menteri besar bebas.

Niat PAS adalah baik untuk menyelamatkan kerajaan Selangor sebelum menteri besar yang baru dilantik. Minimum exco dalam kerajaan Selangor adalah empat orang maka PAS menggalas peranan ini.

Atas semangat inilah, saya dengan penuh rendah diri menyeru rakan-rakan dalam Pakatan dan seluruh rakyat yang mendokong serta menyokong Pakatan Rakyat, usah ragu dan curiga dengan PAS.

Kita akan mempertahankan pakatan ini demi berhadapan dengan Umno-BN untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.


SUHAIZAN KAIT ketua Pemuda PAS.

Lihat Komen
ADS