Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Kebelakangan ini banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa dihadapi negara. Ia sekali gus menguji kepintaran pemimpin negara menangani pelbagai rintangan yang melibatkan isu-isu besar dari dalam dan luar negara yang tidak pernah dijangka akan menggusarkan banyak pihak.

Hari ini cabaran yang terpaksa dipikul Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak amat besar dan ianya diatasi dengan penuh berhati-hati agar hasil yang bakal diperolehi kelak tidak merugikan semua pihak.

Musibah kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH 17 yang ditembak jatuh di Ukraine pasti merupakan dugaan besar bukan saja kepada perdana menteri bahkan ia turut dirasai sendiri oleh rakyat Malaysia keseluruhannya. Misteri kehilangan pesawat MH 370 juga sehingga kini tidak bertemu jawapannya sudah pasti membuatkan perdana menteri sendiri mencari pelbagai inisiatif bantuan seluruh dunia agar ianya ditemui.

Tak dinafikan cabaran perdana menteri ke-6 ini jauh lebih mencabar dengan pelbagai bentuk dugaan yang tidak terduga, ditambah lagi dengan kemodenan komunikasi yang sukar dibendung dalam kepelbagaian bentuk penyebaran berita dan fitnah yang boleh mematikan semangat pemimpin ini meneruskan perjuangannya memartabatkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Melihat akan kepentingan rakyat, terutama ahli Umno, banyak pembaharuan yang telah dijanakan oleh Datuk Seri Najib. Antaranya adalah memberi kuasa kepada lebih tiga juta ahli Umno menentukan kepimpinan parti yang terbaik untuk diketengahkan dan secara tidak langsung telah memberi satu nilai tambah kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap Umno terutamanya.

Ini adalah salah satu pembaharuan dalaman parti yang dibawa oleh Presiden Umno dengan harapan Umno lebih bersifat menyentuh nadi hati sanubari ahli. Bukan seperti sebelum ini, di mana hanya kuasa memilih diberikan kepada 2,500 perwakilan dan terlalu banyak cerita politik wang yang dibangkitkan. Tindakan ke arah membersihkan persepsi bukanlah satu perkara yang dapat diselesaikan dengan cepat.

Rakyat dapat menilai perdana menteri bertungkus lumus ‘membaiki’ kesilapan lalu yang menyebabkan orang Melayu cuba menjauhi parti Melayu ini terutamanya. Kesilapan lalu bukan terjadi dengan sendirinya tetapi terjadi akibat daripada kerja-kerja tidak bertanggungjawab orang kita sendiri yang lupa akan kepentingan rakyat. Walaupun ianya tampak sukar dilaksanakan tetapi tidak mustahil jika ditangani secara perlahan-lahan akan membuahkan hasil yang baik.

Pembangunan dan perkembangan ekonomi negara membangun pesat saban tahun dan ia pastinya membanggakan rakyat Malaysia. Tetapi kepentingan rakyat yang tersepit di antara peningkatan kos sara hidup dan tempat tinggal telah menyebabkan pelbagai kepincangan tak terduga boleh berlaku.

Mengambil kira keutamaan kepada rakyat, hari ini pelbagai bentuk dana dan bantuan kerajaan terus kepada golongan sasaran. Ditambah dengan rancangan projek perumahan mampu milik antaranya PR1MA, PPRT dan pelbagai lagi dibangunkan secara seimbang di dalam Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain seluruh negara.

Sekiranya mahu diceritakan di sini, terlalu banyak perkara sudah diperbaiki oleh presiden Umno. Ada di antara rancangan kerajaan hari ini pasti tidak menampakkan hasil dalam tempoh terdekat tetapi mungkin mengambil tempoh jangkamasa 10 tahun akan datang.


MOHD RAZLAN MUHAMMAD RAFII adalah ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan

Lihat Komen
ADS