Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sultan Selangor dijangka berangkat pulang lebih awal daripada jangkaan ketika kemelut pentadbiran negeri Selangor kian memuncak.

Jika sebelum ini baginda dilaporkan akan berangkat pulang pada 27 Ogos, beberapa sumber menyatakan baginda mungkin kembali lebih awal.

"Baginda mungkin pulang Sabtu ini beberapa hari sebelum menteri besar menghadap," kata sumber kerajaan negeri kepada Malaysiakini hari ini.

Kepulangan Sultan dijangka membantu meleraikan masalah pertindanan kuasa antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, PKR, Pakatan Rakyat dan pihak lain dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Pakatan telahpun bersetuju menyokong nama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim sebagai menteri besar menggantikan Khalid yang telah kehilangan sokongan majoriti ADUN Selangor.

Sementara itu, satu lagi sumber kerajaan negeri berkata keputusan sama ada Wan Azizah bakal dilantik atau tidak hanya bergantung kepada Sultan yang mempunyai kuasa memilih dan melantik menteri besar di bawah Undang-undang tubuh negeri Selangor.

Sebelum ini, Istana Selangor mendedahkan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah membuat permohonan untuk menghadap Sultan Selangor di luar negara.

Bagaimanapun Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata baginda menitahkan agar Khalid menunggu di Selangor sehingga baginda pulang.

Lihat Komen
ADS