Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
150,000 pengguna terputus bekalan air
Diterbitkan:  Aug 20, 2014 10:32 PM
Dikemaskini: Aug 21, 2014 1:33 AM

Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) mengesan berlaku pencemaran diesel ke atas sumber air mentah di muka sauk loji rawatan air (LRA) Bernam River Headwork, Sabak Bernam sehingga mengakibatkan henti tugas sementara loji terpaksa dilakukan sejak jam 10.40 pagi tadi.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), dianggarkan 30,831 pintu rumah (154,155 pengguna) di Hulu Selangor dan Sabak Bernam terputus bekalan air dan menghadapi tekanan air rendah.

Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred berkata pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada kerajaan negeri, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak berkuasa tempatan berhubung situasi itu.

Ia, menurutnya lagi, bagi membolehkan pihak terlibat melakukan siasatan lanjut, termasuk mencari punca sebenar kejadian itu.

“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, pihak SYABAS telah dimaklumkan bahawa pihak LUAS telah menghantar pasukan mereka untuk meninjau dan menyiasat punca sebenar berhubung kejadian yang berlaku, sekali gus bekerjasama dengan pihak operator loji bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Buat masa ini, tambah Priscilla, SYABAS dimaklumkan PNSB sebagai operator loji bahawa mereka belum dapat dipastikan bila bekalan akan pulih dan loji itu dapat beroperasi semula.

“Situasi ini turut menyebabkan SYABAS tidak dapat menjangkakan bilakah bekalan air terawat dapat disalurkan semula kepada pengguna ke kawasan terjejas,” katanya.

Untuk tempoh ini, menurutnya lagi, SYABAS akan memberi bantuan bekalan air kecemasan menerusi lori tangki dan tangki air statik sedia ada kepada pengguna mengikut keutamaan.

Pengguna yang memerlukan maklumat tambahan boleh melayari laman web SYABAS di alamat www.syabas.com.my serta Facebook atau Twitter SYABAS dengan menaip ‘puspel’ atau ‘puspel syabas’.

Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL<jarak>aduan / pertanyaan dan hantar kepada 39222.

Lihat Komen
ADS