Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAPSY S'gor gesa Ridhuan Tee minta maaf
Diterbitkan:  Aug 21, 2014 8:44 AM
Dikemaskini: 12:54 AM

Penceramah dan kolumnis kontroversi Ridhuan Tee digesa memohon maaf selepas didakwa bersikap perkauman apabila mengaitkan usaha pertukaran menteri besar Selangor dengan cadangan projek penternakan babi di negeri itu.

Penolong Setiausaha Pemuda Sosialis DAP Selangor (DAPSY) Selangor) Mohammad Firdaus Babh berkata, tulisan Ridhuan berhubung perkara itu “jelas melakukan tohmahan dan berniat jahat terhadap DAP”.

“Kenyataan ini tidak menggambarkan pemikiran seorang doktor yang bertaraf profesor,” kata Firdaus.

Ridhuan pada 18 Ogos lepas mengaitkan kemarahan terhadap pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim dengan projek penternakan babi bersepadu bernilai RM100 juta yang belum dilaksanakannya.

Ridhuan bimbang jika projek itu dibenarkan, Selangor akan dikenali sebagai “darul babi” dan menimbulkan ketidakselesaan penduduk, terutamanya berhampiran kawasan orang Islam.

Sehari selepas itu Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali pula membangkitkan perkara sama dan mendakwa DAP berjaya menggunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam percaturan jawatan menteri besar.

Ini kerana, dakwa Ibrahim, ketua umum PKR itu didakwa akan mengiyakan apa sahaja kehendak mereka.

Dalam kenyataannya semalam, Firdaus juga berkata, umum mengetahui bahawa projek yang dibangkitkan Ridhwan itu sebenarnya dicadangkan sebelum zaman pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor.

Firdaus juga menyatakan rasa kecewanya apabila kenyataan Ridhuan itu disokong oleh Ibrahim.

Pemimpin Melayu DAP itu juga mendakwa perkaitan yang cuba diutarakan oleh Ridhuan itu “secara jelas untuk menghasut,dan berniat jahat bagi mewujudkan ketegangan kaum di Malaysia”

“Ini bukan kali pertama Dr Ridhuan Tee dan Ibrahim Ali cuba mewujudkan kebencian antara kaum di Malaysia.

“Malangya segala aduan dan laporan oleh rakyat Malaysia dipandang sepi oleh pihak berkuasa,” katanya lagi.

Justeru beliau menyeru pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap dua tokoh kontroversi itu tanpa menunggu laporan polis seperti mana dalam kes pembulian jalanan melibatkan Siti Fairrah Ashyikin Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai Kiki.

Lihat Komen
ADS