Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Ab Samad berkata partinya tidak ada sebarang rancangan untuk menduduki kerusi menteri besar Selangor.

Sebaliknya, kata beliau, PAS masih berpegang pada konsensus bahawa kerusi menteri besar itu adalah milik PKR.

"Kita tak bincang (isu PAS jadi menteri besar).

"Kita tak bincang cuma (ikut keputusan) mesyuarat PAS Pusat 17 Ogos lalu bahawa kita setuju menteri besar dari PKR,  jadi kita tak bincang lagi hal ini," katanya.

Iskandar (kanan) yang ditemui di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini diminta mengulas laporan akhbar Sinar Harian yang melaporkan ulasan penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Sivamurugan Pandian mengenai isu menteri besar Selangor.

Akhbar itu memetik Sivamurugan sebagai berkata PAS boleh mencadangkan Iskandar sebagai calon menteri besar jika Sultan Selangor menolak dua calon dari PKR dan mahu PAS memberi calonnya.

Iskandar merupakan satu-satunya exco kanan yang kekal dibawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Iskandar bagaimanapun menegaskan bahawa PAS Selangor akan tetap mengikut keputusan PAS pusat.

Beliau berkata semua empat exco PAS akan terus bekerjasama memastikan pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor diteruskan.

"Saya nak merujuk keputusan PAS pusat pada 17 Ogos lalu, kita akan terus bekerja sehingga diberitahu kelak untuk memastikan segala perkhidmatan kerajaan diteruskan," katanya.

Iskandar turut menegaskan bahawa semua program negeri yang dirancangkan sebelum ini akan diteruskan seperti biasa tanpa masalah.

"Saya juga nak beritahu bahawa program seperti Skim Mesra Usia Emas dan lain-lain masih diteruskan seperti biasa," katanya

Lihat Komen
ADS