Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semua masjid diminta solat jenazah ghaib esok
Diterbitkan:  Aug 21, 2014 4:19 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Seluruh masjid diminta untuk mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat esok sempena istiadat penghormatan jenazah tragedi pesawat MH17.

    

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata solat jenazah ghaib akan diadakan serentak dengan solat jenazah hadir yang diadakan khusus untuk menerima jenazah bagi disolat sebelum dikebumikan.

    

"Setibanya jenazah di Malaysia yang diberikan penghormatan negara, kita akan mengadakan solat jenazah hadir dan solat jenazah ghaib secara serentak di seluruh negara selepas solat Jumaat.

    

"Solat jenazah hadir khusus bagi masjid yang menerima jenazah untuk tujuan disolatkan pada waktu ketibaan jenazah di destinasi pengkebumian, manakala solat jenazah ghaib boleh diadakan sebaik sahaja mendengar maklumat jenazah telah dimandi dan dikafankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    

Beliau berkata bagi tujuan penyelarasan, solat jenazah ghaib peringkat negara akan diadakan secara langsung di Masjid Putra, Putrajaya.

    

Sebanyak 20 jenazah warga Malaysia akan tiba esok dari Amsterdam, Belanda dan diberi istiadat penghormatan tertinggi negara yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

    

Dari jumlah itu, 11 jenazah beragama Islam dan 9 lagi bukan beragama Islam.

Pawagam berkabung

    

Sementara itu, pemilik panggung wayang utama negara TGV Cinemas Sdn Bhd (TGV) dan Golden Screen Cinemas (GSC) akan turut berkabung sempena hari perkabungan negara esok.  

    

Ketua Pegawai Eksekutif TGV, Gerald V Dibbayawan berkata pihaknya akan memberi peringatan kepada pengunjung agar bersedia untuk bertafakur selama seminit pada waktu bertafakur serentak seluruh negara, yang dijangkakan pada bila-bila masa bermula jam 10.30 pagi.

    

"Sepanjang Jumaat, kita juga akan meminta pengunjung untuk bertafakur mengikut kepercayaan agama mereka sebelum tayangan sesebuah filem bermula di 22 panggung wayang TGV seluruh negara," katanya kepada Bernama.

Mengikut kebiasaan, TGV akan menayangkan filem pertama untuk hari tersebut selepas jam 10 pagi.

    

Semua kakitangan TGV juga akan memakai pakaian berwarna gelap untuk hadir bekerja esok, manakala barisan hadapan syarikat seperti penjaga kaunter tiket akan berpakaian hitam tanda berkabung, tambah Gerald.

Jurucakap GSC pula berkata petugas GSC juga akan berpakaian gelap atau hitam, selain meminta pengendali panggung wayang milik mereka menurunkan hiasan sempena Hari Kemerdekaan selama sehari.

    

"Sebagai tanda solidariti kami, iklan yang disiarkan pada televisyen plasma di semua 28 panggung wayang seluruh negara akan disiarkan secara hitam putih," katanya.

    

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini memaklumkan bahawa seluruh negara akan bertafakur serentak esok semasa Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17 melibatkan 20 jenazah warganegara Malaysia.

    

Sehubungan itu beliau meminta stesen televisyen dan radio untuk tidak menyiarkan hiburan secara keterlaluan pada Jumaat, manakala panggung wayang diminta untuk bekerjasama dalam menghormati upacara itu.

    

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

    

Pesawat Boeing 777-200 itu telah ditembak jatuh namun, sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

- Bernama

Lihat Komen
ADS