Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Istiadat penghormatan di skrin besar Dataran
Diterbitkan:  Aug 21, 2014 4:31 PM
Dikemaskini: 1:45 PM

Warga kota boleh mengikuti siaran langsung istiadat penghormatan jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di skrin besar di Dataran Merdeka esok.

    

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata selain Dataran Merdeka, satu lagi skrin besar akan diletakkan di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Raja Laut.

    

"Paparan istiadat di skrin besar bertujuan membolehkan semua warga kota melihat bagaimana jenazah mangsa tragedi tersebut sampai di tanah air di samping mengikuti penghormatan yang diberikan kerajaan," katanya.

    

Tengku Adnan berkata demikian kepada para pemberita selepas Program Penghargaan Warga Kuala Lumpur dan Pelancong Kepada Mangsa MH17 di Jalan Raja Laut di sini hari ini.

    

Beliau berkata sebanyak 28 panel juga telah dipasang di lokasi di sekitar ibu kota bagi membolehkan warga kota memberikan penghormatan kepada mangsa tragedi dengan menandatangani panel selama dua minggu.

    

Panel yang dipasang di hentian bas dan teksi itu kemudiannya dipindahkan ke Jalan Raja Laut berhampiran bangunan DBKL untuk tempoh selama tiga hari bermula semalam.

    

"Seramai 30,000 orang telah menandatangani panel berkenaan selain menulis ucapan takziah dan berkongsi rasa simpati dengan keluarga mangsa," tambah Tengku Adnan.

    

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Parisign Media Michael Tan, syarikat iklan yang bertanggungjawab memasang panel itu berkata panel tersebut bertujuan menyatukan semua warga kota dalam menzahirkan rasa simpati berikutan tragedi MH17.

    

Tinjauan Bernama mendapati panel itu turut ditandatangani pelancong dari Pakistan, Czech dan Slovak serta Kemboja.

    

Mereka yang menandatangani panel berkenaan turut memberikan kata-kata semangat kepada MAS seperti 'Stay Strong MAS' dan 'Jangan Pernah Putus Asa MAS'.

 

Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

    

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 penumpang dan anak kapal telah ditembak jatuh namun, sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

    

Sebanyak 43 orang termasuk penumpang dan anak kapal merupakan warga Malaysia. Daripada jumlah ini, 20 mayat dijadual tiba di tanah air esok.

Upacara terfakur

Sementara itu, upacara bertafakur bagi mengingati mangsa pesawat MH17 akan diadakan di Wisma Negeri dan Wisma Persekutuan di Seremban bermula pukul 10.45 pagi esok.

    

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pengumuman akan dibuat di kedua-dua bangunan itu untuk diadakan tafakur serentak selama 1 minit yang  bagi penganut beragama Islam, mereka dikehendaki membaca surah Fatihah dan yang bukan beragama Islam berdoa mengikut agama masing-masing.

    

"Saya harap orang ramai di seluruh negeri ini akan turut sama bertafakur serentak selama 1 minit dalam tempoh tersebut," katanya.

Sementara itu, jenazah pramugari Malaysia Airlines, Mastura Mustafa yang merupakan antara mangsa pesawat MH17 akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paroi esok.

    

Menteri besar berkata jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa setelah selesai Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di  Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    

"Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan selepas solat Jumaat. Selepas itu jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan," katanya.

    

Beliau berkata beliau akan hadir di KLIA dan seterusnya mengiringi jenazah Mastura ke Seremban.

    

Sebanyak 20 jenazah warga Malaysia (11 beragama Islam, sembilan bukan beragama Islam) yang menjadi mangsa nahas MH17 akan dibawa pulang esok dari Amsterdam dan dijangka tiba di KLIA pada pukul 10 pagi.

    

Pesawat MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal apabila ia ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

- Bernama

Lihat Komen
ADS