Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nirvana siap sedia terima lima jenazah nahas MH17
Diterbitkan:  Aug 22, 2014 8:59 AM
Dikemaskini: 1:07 AM

Nirvana (NV) Multi Asia, syarikat yang bakal menguruskan lima jenazah bukan Islam mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, yang dijadual tiba di tanah air hari ini, sudah membuat persiapan rapi untuk melaksanakan tugasan itu.

    

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk David Kong berkata pihaknya telahpun memulakan gerak kerja bagi menyambut jenazah berkenaan sejak beberapa hari lalu.

    

"Sejumlah 20 kakitangan Nirvana akan terlibat secara langsung dalam upacara sembahyang manakala 50 lagi akan bersiap sedia sekiranya diperlukan untuk sebarang bantuan," katanya kepada Bernama di Wisma Nirvana di ibunegara hari ini.

    

Beliau berkata pihaknya turut menyediakan sebuah bilik khas yang mampu memuatkan kira-kira 300 orang serta layar LCD di tingkat dua premis itu untuk kemudahan anggota keluarga serta waris mangsa menyaksikan upacara itu.

    

David berkata ini merupakan tugasan paling mencabar bagi dirinya sejak terlibat dalam bidang pengurusan jenazah dan kali pertama yang membabitkan mangsa nahas kapal terbang.

    

Beliau turut menasihati pengamal media agar berhati-hati ketika menjalankan tugasan mereka di Wisma Nirvana bagi menghormati perasaan dan sensitiviti anggota keluarga terbabit.

    

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di Taman Peringatan Nirvana Shah Alam semalam mendapati semua persiapan untuk penerimaan jenazah bagi urusan pembakaran atau persemadian berjalan lancar.

    

Pengurus Bahagian Servis dan Operasinya, Lum Hui Yee berkata raptai penerimaan diadakan kelmarin dan semalam.

    

"Pekerja saya telah bertungkus-lumus sejak dua hari lalu untuk memudahkan segala urusan penerimaan dan pengurusan jenazah ini supaya berjalan lancar," katanya.

    

Pesawat Boeing 777-200, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

    

Bagi menghormati mereka yang terkorban dalam tragedi itu, kerajaan Malaysia mengisytiharkan esok sebagai Hari Perkabungan Negara.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS