Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesawat bawa 20 jenazah nahas MH17 tiba di tanahair
Diterbitkan:  Aug 22, 2014 10:50 AM
Dikemaskini: 6:32 AM

Pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa 20 jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang pukul 9.54 pagi ini.   

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam pukul 9.40 malam tadi untuk penerbangan selama 12 jam ke Kuala Lumpur, membawa kumpulan pertama jenazah dalam 17 keranda dan tiga dalam kendi berisi abu mayat .

Jenazah dibawa keluar dari pesawat sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA.

    

Setiap keranda dibawa ke kenderaan jenazah oleh kumpulan pengusung seramai lapan anggota ATM.

Diselimuti Jalur Gemilang, dua keranda pertama yang dipindahkan dari pesawat itu mengandungi jenazah dua anak kapal Penerbangan MH17 - pramugari Mastura Mustafa dan pegawai pertama Ahmad Hakimi Hanapi.

    

Anggota keluarga mangsa kelihatan mengalirkan air mata ketika lebih banyak keranda dibawa keluar dari pesawat khas itu.

    

Mayat mereka dibawa pulang ke tanah air di dalam 17 keranda dan

tiga bekas abu mayat, setiap satu dibawa dengan penuh hormat oleh lapan pengusung jenazah daripada angkatan tentera untuk diletakkan di dalam kenderaan jenazah yang sedia menunggu.

    

Tafakur selama seminit diadakan sebagai tanda menghormati mangsa sebelum kenderaan jenazah meninggalkan kompleks itu untuk menuju ke kampung halaman mangsa atau ke tempat pengurusan jenazah dan seterusnya dibawa ke tanah perkuburan.

    

Jenazah berkenaan merupakan kumpulan pertama daripada 43 rakyat Malaysia yang maut dalam tragedi tersebut, yang dibawa pulang dari Amsterdam ke tanah air.

    

Pesawat MAS Penerbangan MH17 bersama 298 orang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam.

    

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) untuk memberi penghormatan kepada 20 jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17.

    

Bersama Seri Paduka berdua ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Sudah sedia berada di KLIA ialah waris-waris mangsa yang menunggu ketibaan jenazah pagi ini di kompleks bersebelahan terminal utama KLIA.

    

Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, menteri-menteri Kabinet, para anggota Parlimen daripada Barisan Nasional dan anggota pembangkang serta para diplomat asing.

    

Empat puluh tiga rakyat Malaysia terbunuh dalam tragedi itu semasa Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di Ukraine.

- Bernama

Lihat Komen
ADS