Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin menyelar golongan berpengaruh dalam PKR yang didakwanya cuba memecah-belah Pakatan Rakyat ketika krisis politik di Selangor memuncak.

Tanpa menamakan individu tertentu, Shamsul Iskandar mendakwa “suara sumbang” oleh golongan yang disifatkan sebagai “panglima PKR” itu sanggup mendesak agar parti tersebut keluar dari Pakatan Rakyat.

"Di dalam krisis menteri besar Selangor, kita melihat situasi yang sama apabila ada di antara panglima parti yang cuba memecahkan keutuhan Pakatan Rakyat.

"Ini adalah bisikan syaitan! Tiada maknanya kita berjuang jika kita tidak menjaga keutuhan Pakatan Rakyat.

"Seperti yang saya telah ungkapkan, pemimpin yang berpengalaman luas dalam politik, seperti almarhum Datuk Fadzil Mohd Nor dan Lim Kit Siang menyedari keperluan untuk bergerak sebagai sebuah pakatan yang kukuh.

"Kita tidak akan ke Putrajaya sendirian," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua AMK dalam kongres pergerakan itu di Shah Alam pagi ini.

Sanggup hilang kuasa

Beliau yang baru dilantik ke jawatan naib presiden PKR bagaimanapun lega kerana ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mudah termakan dengan bisikan itu.

Bagaimanapun, beliau tetap kesal dengan pihak tertentu yang sanggup kehilangan kuasa di Selangor atau sanggup membiarkan sehingga DUN dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya baru.

"Ini semua adalah pemikiran yang sasau dan tersasar. Jika kita ikuti saranan yang rela kehilangan negeri Selangor atau mahu Dewan negeri dibubarkan, kita seperti di dalam bidalan orang tua Melaka, ibarat peniaga buluh kasap, dapat hujung pangkal lesap," katanya.

Shamsul menegaskan krisis itu sebahagian besarnya berpunca daripada sikap Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menyukarkan keadaan.

Beliau antara lainnya membangkitkan sikap "tiada komitmen kepada proses musyawarah dan displin untuk mematuhi keputusan yang dicapai".

"Lebih parah sekiranya persetujuan yang dicapai disanggah oleh pemimpin utama parti yang tidak menghadiri mesyuarat.

"Pergantungan kepada penasihat di balik tabir, di luar daripada proses mesyuarat bersama menyukarkan lagi keadaan,” katanya.

Oleh sebab itulah Pemuda Pakatan Rakyat sebelum ini menggesa pemimpin gabungan parti bertemu Khalid unntuk mencari penyelesaian, katanya.

Lihat Komen
ADS