Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kebanyakan para perwakilan di kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggunakan peluang untuk berucap hari ini dengan membawa agenda sama – bagi merapatkan saf dan meningkatkan kerjasama dengan rakan lain dalam Pakatan Rakyat.

Agenda itu terserlah, lebih-lebih lagi ketika PKR kini sedang bergelut dalam mengurus isu perebutan kerusi menteri besar, yang kini disandang Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tambahan pula, rakannya PAS tidak memberi sokongan bulat ke atas rancangan PKR untuk melantik presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Khalid.

Turut diperhatikan, para perwakilan tidak membangkitkan isu sokongan pada Khalid.

Hal ini antara lainnya dapat dilihat melalui ucapan wakil Gopeng, Mohd Shahanaz Mohd Nazaruddin yang bimbang dengan imej PKR di mata rakan komponen dalam Pakatan.

Katanya, beliau tidak ingin PKR dipandang rendah seperti ketika krisis politik di Perak pada 2009, dan mahu gabungan parti itu “kembali bergabung dan sepakat”.

Bimbang dipandang rendah

"Dalam erti kata yang lain, saya memohon agar parti yang dalam Pakatan Rakyat, kalau kami ada masalah, apa yang berlaku dalam PKR, jangan (permainkan kami).

"Kita mesti membantu dan bersikap toleransi supaya tidak berlaku pepecahan. Bersatu teguh, bercerai roboh," katanya ketika membahaskan ucapan dasar ketua AMK dalam kongres itu petang ini.

Mohd Shahanaz berkata, PKR Perak dipandang rendah apabila dua orang ADUN parti tersebut berpaling tadah dan seterusnya menyebabkan pentadbiran negeri itu jatuh ke tangan BN.

Tegasnya, PKR negeri itu cuba mengikis tanggapan dan persepsi itu pada pemilihan 2010 supaya dapat berdiri setanding dengan DAP dan PAS.

 

"Akhirnya pada penghujung pilihan raya umum ke-13, kita hanya gagal pertahan Behrang (daripada semua kerusi yang ditandingi PKR). Kita (dianggap) berjaya," katanya.

Rakyat resah isu MB

Sementara itu, wakil Selangor, Jestin Raj pula menyeru para perwakilan agar mengambil iktibar daripada krisis yang berlaku di negeri itu kerana ia menyebabkan timbul keresahan di kalangan rakyat.

"Rakyat mula resah tetapi pemimpin mesti bijak pantas dan berhati-hati (menyelesaikan masalah ini) dan tidak membelakang institusi raja. Kita tidak mahu kejatuhan Perak berlaku (di Selangor)," katanya.

Seruan untuk perpaduan Pakatan itu juga ditegaskan oleh seorang lagi perwakilan, Mohd Ridwan Mohd Razali yang berkata, gabungan itu tidak akan kekal, walau hanya satu parti yang menarik diri.

"Kalau tiga (parti) tolak satu bukan tinggal dua, tapi tinggal kosong. Kalau pecah siapa yang menang? PAS kalah, kita pun kalah. Kita perlu bersatu untuk mantapkan parti," kata wakil Kedah itu.

Katanya, AMK Kedah melalui pengalaman getir ketika pentadbiran negeri itu jatuh ke tangan BN dalam pilihan raya umum lalu dan berharap para pemimpin parti akan memberi lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Lihat Komen
ADS