Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan mengemukakan cadangan bagi mengatasi masalah yang timbul dalam perjalanan pemilihan parti itu.

Katanya, pemilihan yang berlarutan lebih lima bulan itu antara lainnya berpunca dari kelemahan dari segi infrastruktur, kelengkapan dan aset, dan tatatertib anggota serta pemimpin parti.

"Semasa proses pemilihan, terdapat beberapa aspek atau kelemahan yang harus kita tingkatkan bersama.

"Ini parti kita kita kena baiki bersama," kata beliau dalam ucapan dasarnya di Kongres Nasional PKR ke 10 hari ini.

Pemilihan PKR yang bermula sejak April lalu hanya diketahui keputusannya minggu ini.

Dalam tempoh itu, pelbagai kes dakwaan pergaduhan, penipuan, dan tuduhan rasuah timbul dalam proses pemilihan di sebahagian besar dari 218 cabang PKR seluruh negara.

Beberapa pimpinan PKR sebelum ini turut melaporkan kelemahan pemilihan sehingga mendatangkan pelbagai masalah.

Pada 6 Mei lalu, Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nur Manuty berkata kesalahan keciciran nama ahli tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada kepimpinan PKR cabang terlibat memandangkan urusan penyenaraian ahli layak mengundi dibuat oleh JPP.

Sementara Naib Presiden Nurul Izzah Anwar pada 12 Mei pula mengakui wujud banyak kelemahan ketika pemilihan menyebabkan berlaku kekecohan di beberapa cabang hingga menyebabkan pemilihan terpaksa ditunda dan diadakan semula pada tarikh lain.

Justeru Wan Azizah dalam ucapannya, mahu seluruh ahli parti memberi cadangan penambahbaikan pemilihan kepada pimpinan tertinggi supaya tidak mengulangi kelemahan yang berlaku dalam dua pemilihan sebelum ini.

"Saya meminta pihak JPP mengemukakan cadangan ini, dengan mengambil kira juga pandangan daripada akar umbi, khususnya pemimpin di peringkat cabang dan negeri, diperhalusi dan dibahaskan secara telus dan mendalam, untuk dikemukakan dapatannya kepada Majlis Pimpinan Pusat," katanya.

Lihat Komen
ADS