Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PKR menggesa kerajaan agar mengkaji semula langkah mengurangkan pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

MP Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, perkembangan itu serius kerana pengambilan pelajar untuk jurusan utama seperti perubatan berkurangan kepada hanya 418 orang tahun ini, berbanding 900 orang pada tahun lalu.

Langkah tersebut turut menyebabkan hanya 37,467 orang pelajar ditawarkan tempat di IPTA berbanding 41,537 tempat pada tahun lepas, dakwanya dalam sidang media di Kongres Nasional ke-10 PKR pagi ini.

"Pengurangan pengambilan pelajar yang drastik ini bertujuan untuk memindahkan beban tanggungan kewangan kepada ibu bapa dan pelajar, dan sekali gus mengurangkan beban tanggungan keeangan kerajaan Pusat.

"Ia juga dijangka akan membantu institusi pengajian tinggi swasta mendapat bisnes yang lebih baik.

"Kami melihat ini sebagai penswastaan pengajian tinggi cara baru yang dilaksanakan oleh kerajaan Pusat," katanya pada sidang media itu.

Beliau bersama empat orang lagi MP PKR menubuhkan Panel Nasihat dan Aduan Pendidikan Tinggi (HEAP) bagi menangani masalah pelajar cemerlang yang gagal masuk ke IPTA.

Sehingga kini, panel itu telah menerima 191 aduan dan 54 kes daripadanya didapati termasuk dalam kes pelajar cemerlang ditawarkan kursus pilihan luar biasa.

Sementara itu, 52 kes lagi melibatkan kes pelajar cemerlang yang gagal mendapat sebarang tawaran.

Lihat Komen
ADS