Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PSM amat kecewa sekali dengan keputusan Mahkamah Persekutan pada 14 Ogos 2014 yang menolak permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang dan P Ramakrishnan (mantan presiden Aliran) untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan di negeri Pulau Pinang.

Pilihan raya tempatan merupakan teras yang penting dalam institusi demokrasi di mana rakyat dapat mengundi dan menentukan wakil rakyat dalam majlis tempatan dan juga datuk bandar yang bertanggungjawab dalam urusan yang berkaitan rapat dengan kehidupan rakyat tempatan.

Negara kita pernah adanya pilihan raya tempatan. Namun, rakyat Malaysia telah dinafikan hak demokratik untuk memilih kerajaan tempatan apabila pilihan raya tempatan digantung semasa Darurat September 1964.

Penggantungan pilihan raya tempatan diteruskan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976, menjadikan semua yang dipertua majlis tempatan atau datuk bandar dan ahli majlis tempatan dilantik oleh kerajaan negeri tanpa pilihan raya sehingga hari ini, walaupun negara kita tidak lagi berada dalam apa-apa darurat.

Satu siasatan suruhanjaya diraja ke atas pihak berkuasa di Semenanjung Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1965 dan dipimpin oleh Athi Nahappan, telah menerbitkan laporan pada Disember 1968.

Laporan itu memberi saranan bahawa setiap ibu kota di Semenanjung Malaysia patut ditadbir oleh pihak berkuasa tempatan yang terdiri daripada wakil yang dipilih oleh rakyat, dan ini patut diperluaskan ke tempat lain.

PSM mengucapkan syabas kepada kerajaan Pulau Pinang atas usahanya cuba mengembalikan pilihan raya tempatan melalui Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012.

Namun, perjuangan untuk memulihkan pilihan raya tempatan tidak boleh berhenti setakat proses di mahkamah. Kita perlu tingkatkan usaha untuk memulihkan pilihan raya tempatan.

Kerajaan Pulau Pinang tidak patut putus asa dan perlu meneroka cara lain secara kreatif untuk mengembalikan undi ketiga kepada rakyat Pulau Pinang, yang sememangnya akan menjadi teladan untuk diikuti oleh kerajaan tempatan yang lain di seluruh negara.

Kerajaan Selangor yang sebelum ini berjanji untuk memulihkan pilihan raya tempatan telah gagal melakukannya seperti yang dirancang akibat daripada krisis politik yang serius baru-baru ini. Sepatutnya pilihan raya tempatan diadakan pada penghujung tahun ini di Majlis Bandaraya Petaling Jaya, dan usaha ini perlu diteruskan.

PSM menyeru supaya kerajaan persekutuan dan parlimen Malaysia untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang telah merampas hak rakyat untuk memilih ahli majlis tempatan dan Datuk Bandar atau yang dipertua majlis melalui proses demokrasi.


CHOO CHON KAI adalah ahli jawatankuasa pusat PSM

Lihat Komen
ADS